-Advertisement-
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2026 (The Capital Post) — NanoMalaysia Berhad (NMB) terus memperkukuh daya tahan tenaga negara menerusi pembangunan pelbagai inovasi tenaga bersih bagi menyokong keselamatan tenaga Malaysia dan mempercepatkan peralihan ke arah ekonomi rendah karbon.
Sebagai syarikat di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), NMB giat memajukan teknologi hijau berpaksikan pasaran melalui program strategik, kerjasama industri dan model pelaburan bina teroka.
Antara inisiatif utama yang sedang dibangunkan termasuk sistem penghasilan hidrogen luar grid HyPEReactor, Stesen Pengisian Semula Hidrogen Mudah Alih (MHRS), teknologi bateri ion natrium dipertingkatkan graphene serta stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) berkuasa solar.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NMB, Dr. Rezal Khairi Ahmad, keselamatan tenaga dan kemampanan kini menjadi keutamaan negara susulan peningkatan permintaan tenaga global serta gangguan bekalan bahan api fosil akibat krisis tenaga dunia.
Beliau berkata Malaysia turut berdepan cabaran peningkatan penggunaan tenaga khususnya daripada pertumbuhan pusat data, menara telekomunikasi, mobiliti elektrik serta isu kebolehpercayaan grid di kawasan terpencil.
HyPEReactor yang dibangunkan NMB merupakan sistem tenaga hidrogen luar grid yang menyediakan bekalan elektrik bersih tanpa emisi kepada komuniti luar bandar dan kawasan yang kurang mempunyai akses kepada infrastruktur tenaga. Sistem tersebut kini dilaksanakan di Perkampungan Orang Asli Tibang di Perak bagi menggantikan penggunaan penjana diesel.
Dalam sektor mobiliti pula, NMB bersama rakan strategik melancarkan Stesen Pengisian Hidrogen Mudah Alih (MHRS) pertama di Semenanjung Malaysia sebagai projek perintis bagi menyokong pembangunan kenderaan berkuasa hidrogen termasuk bas dan lori.
Selain itu, NMB turut membangunkan bateri ion natrium dipertingkatkan graphene di bawah program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI), yang menawarkan alternatif lebih selamat dan mampan berbanding bateri litium konvensional.
Teknologi bateri tersebut direka untuk aplikasi penyimpanan tenaga berskala grid, integrasi tenaga boleh diperbaharui, sistem sandaran telekomunikasi serta mobiliti elektrik sambil mengurangkan kebergantungan terhadap mineral kritikal seperti litium dan kobalt.
Dalam usaha menyokong mobiliti hijau, NMB juga sedang memajukan stesen pengecasan EV berasaskan tenaga boleh diperbaharui yang menggunakan sistem solar photovolta dan penyimpanan tenaga bateri bagi mengurangkan pelepasan karbon serta kebergantungan kepada bahan api fosil.
Inisiatif itu turut merangkumi pembangunan prototaip pengecasan tanpa wayar berkapasiti sekitar 18 kW sebagai sebahagian daripada pembangunan sistem pengecasan generasi baharu.
Menurut NMB, keseluruhan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen syarikat dalam membangunkan ekosistem tenaga bersih yang lebih mampan, berdaya tahan dan dipacu teknologi tempatan demi masa depan tenaga negara. – The Capital Post