PUTRAJAYA 19 Mei 2026 (The Capital Post) – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam meneruskan usaha memperkukuh pengurusan biodiversiti negara menerusi Sesi Libat Urus Pembentangan Dapatan Laporan Kebangsaan Ke-7 (7NR) bersama pemegang taruh yang berlangsung di DoubleTree by Hilton Putrajaya Lakeside.
Sesi berkenaan dihadiri Ketua Setiausaha NRES, Anis Rizana Mohd Zainudin yang turut menyampaikan ucapan alu-aluan selain menyerahkan sijil penghargaan kepada pihak berkepentingan yang terlibat dalam penyediaan laporan tersebut.
Pembentangan itu memberi tumpuan kepada pencapaian, cabaran dan cadangan penambahbaikan dalam pelaksanaan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022-2030 sebagai sebahagian daripada komitmen negara terhadap pemeliharaan biodiversiti dan kelestarian alam sekitar.
-Advertisement-
Program tersebut turut mengiktiraf kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor industri, institusi akademik, pertubuhan masyarakat sivil serta pelbagai pihak berkepentingan yang memainkan peranan penting dalam penyediaan Laporan Kebangsaan Ke-7 kepada Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD).
Turut hadir dalam sesi itu ialah wakil Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia, Mr Besian Xhezo, Timbalan Ketua Pengarah (Konservasi) Perhilitan, Fakhrul Hatta Musa serta pegawai dan wakil daripada kementerian, jabatan dan agensi berkaitan. – The Capital Post