KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) telah menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau dan menangani isu berkaitan industri pelancongan di Semporna.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin, berkata pasukan tersebut ditubuhkan pada penghujung tahun lalu dan melibatkan agensi negeri berkaitan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemain industri serta wakil komuniti.
Beliau menjelaskan bahawa objektif utama pasukan ini adalah untuk menangani isu pelancongan di Semporna secara menyeluruh dan berstruktur, bukan secara reaktif, melalui pendekatan sistemik yang menyelaras peranan serta bidang kuasa dan penguatkuasaan antara agensi berkaitan.
“Isu berkaitan kegiatan dan operasi perniagaan haram kebanyakannya berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP).
“Kerajaan negeri melalui pasukan petugas ini akan bekerjasama rapat dengan KKTP dan pihak berkuasa lain bagi memastikan tadbir urus yang baik, penguatkuasaan berkesan serta pembangunan pelancongan yang teratur di Semporna.
“Pendekatan kami berasaskan bukti dan berorientasikan penyelesaian. Pelancongan tidak boleh berkembang menjadi enklaf ekonomi, di mana keuntungan keluar tetapi manfaat tempatan tetap minima,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
-Advertisement-
Jafry turut menegaskan bahawa isu kemasukan syarikat asing yang menjalankan perniagaan dalam sektor pelancongan perlu dinilai secara menyeluruh berdasarkan fakta dan kepentingan ekonomi jangka panjang Sabah.
“Sabah mengalu-alukan pelaburan asing kerana rangkaian global dan akses pasaran adalah pemacu penting pertumbuhan pelancongan.
“Bagaimanapun, pelaburan mesti memberi manfaat jelas kepada Sabah, memperkukuh penyertaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat, dan memastikan kesan ekonomi yang signifikan kepada komuniti.
“Sabah mesti kekal kompetitif di peringkat global sambil memastikan rakyat tempatan menjadi penerima utama manfaat di negeri sendiri.
“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan, termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), bagi memastikan tadbir urus jelas, penguatkuasaan tersusun, dan pembangunan pelancongan yang mampan di Semporna,” katanya.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, mendedahkan sebanyak 81 tempat penginapan di Semporna, majoritinya diuruskan oleh warga asing dan syarikat luar negara.
-Berita Harian