BENTONG 30 September 2026 (The Capital Post) – Seorang pekerja kafe berusia 29 tahun meninggal dunia selepas dipercayai lemas ketika mandi-manda di Hutan Lipur Chamang, Bentong, semalam.
Mangsa, Mohd Aiman Nazmi Mohd Yusuf, yang bekerja di sebuah kafe di Sungai Besi, Kuala Lumpur, dilaporkan berkunjung ke lokasi perkelahan itu bersama 13 rakannya, termasuk lima wanita, sebelum kejadian berlaku.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa, memaklumkan bahawa pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 1.29 tengah hari sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bentong digerakkan ke lokasi, kira-kira 15 kilometer dari balai.
Bagaimanapun, jasad mangsa ditemukan terlebih dahulu oleh kakitangan Jabatan Perhutanan pada jarak kira-kira 20 meter dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam.
-Advertisement-
Mangsa kemudian dibawa ke darat sebelum ketibaan pasukan penyelamat. Pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Jasad mangsa diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk urusan bedah siasat dan tindakan lanjut sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Bentong.
Siasatan bagi mengenal pasti kronologi sebenar kejadian kini dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong – The Capital Post