Pekerja Myanmar maut ditikam rakan senegara

Estimate Reading Time: 2 minutes

BALING: Lelaki Myanmar ditemukan maut disyaki dibunuh dalam pergaduhan dengan rakan senegaranya di ladang tembikai Batu 7, Binjul, Kuala Ketil, dekat sini.

-Advertisement-

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 7.50 pagi Ahad lalu, selepas pengadu yang juga pengurus ladang tembikai berusia 47 tahun memaklumkan berlaku pergaduhan membabitkan dua pekerjanya menyebabkan seorang daripada mereka maut manakala seorang lagi yang cedera melarikan diri.

Berikutan itu, beliau berkata, pegawai dan anggota polis kemudian melakukan siasatan di lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua khemah yang didirikan bagi tujuan tempat penginapan 12 orang pekerja di ladang tembikai berkenaan.

“Lokasi mayat mangsa ditemui berada pada jarak kira-kira 500 meter dari khemah penginapan mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

-Advertisement-

Shamsudin berkata, pengurus ladang tembikai itu sering berulang alik ke dari Pokok Sena di Alor Setar ke ladang berkenaan.

Beliau berkata, pengadu hanya menyedari kejadian (bunuh) itu pada jam 7 pagi hari kejadian selepas mendengar mesej pesanan suara melalui aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya.

“Namun, semua pekerja di ladang itu sudah melarikan diri dan terus membuat laporan polis di Balai Polis Tawar untuk memaklumkan perkara itu.

“Sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Forensik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang tiba di lokasi kejadian menemui mangsa dalam keadaan terbaring di dalam lubang tempat pembuangan sampah di ladang berkenaan,” katanya.

Shamsudin berkata, mangsa yang berusia 36 tahun ditemui tujuh tikaman di dada dan satu tikaman di rusuk kiri dengan anggaran satu hingga empat sentimeter dan tidak mempunyai sebarang kecederaan luaran lain.

“Unit anjing pengesan (K-9) polis turut dipanggil untuk membantu siasatan dan menemui lima pakaian disyaki ada kesan darah direndam dalam baldi di belakang khemah penginapan.

“Mangsa dianggarkan mati kurang daripada 24 jam sebelum mayatnya ditemui,” katanya.

Shamsudin berkata, pengurus ladang itu ditahan untuk membantu siasatan bersangkut dengan kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selain menggaji pekerja asing tanpa permit mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373