Pelaburan asing bantu perkukuh semula ringgit

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Dasar ekonomi yang baik bagi menarik kemasukan pelaburan asing ke dalam negara boleh membantu mengukuhkan semula nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid.

-Advertisement-

Beliau menjelaskan, pergerakan mata wang asing adalah seperti pergerakan saham, dengan naik turun harga saham mencerminkan fundamental atau kekukuhan sesebuah syarikat dari segi pendapatan, pengurusan atau strategi perniagaan.

Katanya, mata wang pula mencerminkan kekukuhan sesebuah negara dari segi prospek pertumbuhan, kadar faedah, dasar ekonomi dan pelaksanaan dasar.

“Justeru, seeloknya tumpukan kepada dasar ekonomi yang bagus, yang dapat menjamin kesejahteraan rakyat dan perniagaan. Ia secara tidak langsung dan lama kelamaan akan dapat menarik pelabur masuk ke Malaysia.

“Apabila pelabur masuk, maka permintaan terhadap ringgit akan meningkat. sekali gus membantu mengukuhkan ringgit berbanding dolar AS.

“Jika berjaya, Malaysia akan menjadi destinasi pelaburan yang menarik, ringgit akan mengukuh dengan sendirinya dan kita tidak perlu bimbang lagi dengan masalah prestasi mata wang tempatan,” katanya kepada BH.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, baru-baru ini menjelaskan bahawa kelemahan ringgit ketika ini didorong oleh faktor luaran seperti kadar faedah yang tinggi di AS dan ketidaktentuan di China.

Secara umumnya, beliau berkata, penurunan ini adalah sejajar dengan pergerakan mata wang serantau.

“Harga komoditi yang tinggi dan prospek pemulihan Malaysia juga mengurangkan tekanan terhadap penurunan nilai ringgit daripada semua faktor luaran.

“Pada masa hadapan, limpahan kepada pengantaraan kewangan domestik dijangka dapat dibendung meskipun pasaran kewangan domestik bergantung pada beberapa tempoh ketidaktentuan yang tinggi.

-Advertisement-

“Kedudukan luaran Malaysia yang kukuh dan sistem perbankan yang berdaya tahan membolehkan ekonomi berhadapan dengan kejutan luaran,” kata gabenor bank pusat itu.

Sementara itu, Mohd Afzanizam berkata, harga minyak yang tinggi boleh menjadi faktor asas kepada ringgit dalam persekitaran ketidaktentuan dalam pasaran global.

“Kemungkinan kelonggaran dalam langkah COVID-19 mulai 1 Jun 2022 untuk Shanghai menyebabkan harga minyak mentah tinggi,” katanya.

Mohd Afzanizam berkata, data dari China menunjukkan strategi sifar COVID-19 negara itu memberi impak kepada ekonominya.

Beliau berkata, aktiviti ekonomi China merosot berikutan jualan runcit dan indeks pengeluaran perindustrian, uamh masing-masing susut 11.1 peratus dan 2.9 peratus pada April.

Begitu juga, Indeks Pembuatan New York Empire State AS turut merosot kepada -11.6 pada Mei 2022 daripada 24.6 pada April 2022, menunjukkan pemulihan dalam sektor pembuatan masih tentatif.

Oleh itu, Mohd Afzanizam berkata, dinamik sedemikian bermakna permintaan terhadap mata wang selamat akan terus kekal kukuh apabila ketidaktentuan ekonomi meningkat.

-BH