Pelan OGSE Pacu Daya Saing Industri Malaysia

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 9 June 2026 (The Capital Post) – Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir, mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Pelan Induk Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Nasional 2021–2030 bagi membincangkan langkah strategik untuk memperkukuh daya saing industri OGSE Malaysia di peringkat antarabangsa.

Menurut perkongsian di Facebook Kementerian Ekonomi, mesyuarat tersebut meneliti perkembangan semasa industri serta peluang baharu yang muncul susulan perubahan landskap ekonomi dan geopolitik di Asia Barat. Perkembangan itu dilihat membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk memperluaskan pasaran melalui strategi pengantarabangsaan yang lebih tersusun dan berdaya saing.

Sehingga 31 Mei 2026, lebih 600 syarikat OGSE telah menerima sokongan dalam aspek pembangunan eksport, teknologi dan akses pembiayaan, manakala lebih 500 tenaga kerja mahir berjaya dilatih bagi memenuhi keperluan sektor kritikal industri.

Selain itu, program-program yang dianjurkan oleh MATRADE telah menjana jualan eksport melebihi RM2 bilion, sementara lebih 100 teknologi berkaitan OGSE berjaya dipermudah cara menerusi inisiatif OGSE Technology Network (OGTEN) dan Geran Pembangunan OGSE (OGSE DG). Program OGSE DG turut merekodkan penjanaan hasil melebihi RM77.2 juta.

Kementerian Ekonomi memaklumkan bahawa pelaksanaan pelan induk tersebut bukan sahaja menyokong pertumbuhan industri OGSE negara, malah memainkan peranan penting dalam memperkukuh agenda keselamatan tenaga negara yang berdaya saing dan mampan.

Mesyuarat itu turut dihadiri wakil daripada pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, MIDA, MATRADE, PETRONAS, PETROS, TalentCorp, TERAJU serta pemain industri OGSE yang lain. – The Capital Post.

-Advertisement-