Pemain Sarawak United sudah 4 bulan tak dapat gaji

Estimate Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA: Isu tunggakan gaji terus menghantui Liga Malaysia (Liga M), kali ini melibatkan kelab Liga Super, Sarawak United.

-Advertisement-

Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) semalam mengesahkan menerima laporan Sarawak tidak membayar gaji pemain memasuki bulan keempat.

Menurut PFAM, pada 14 Jun lalu mereka telah mengeluarkan notis kepada pasukan itu mengenai tuntutan tunggakan pemain terlibat.

Notis susulan kemudian telah diberikan kepada Sarawak United pada 8 Julai lalu.

“Walaupun telah menerima maklum balas daripada pihak pasukan bagi melunaskan tunggakan gaji tersebut, namun sehingga kini, tunggakan belum dijelaskan sepenuhnya.

“Lebih mendukacitakan, pada Jun lalu, para pemain terpaksa berhadapan dengan situasi menerima notis bagi mengosongkan tempat penginapan mereka kerana bayaran sewa tidak dilunaskan pihak kelab berkenaan,” menurut kenyataan itu.

-Advertisement-

Kata PFAM, pihak pengurusan kelab sewajarnya memberikan fokus penuh dalam menjalankan tanggungjawab mereka bagi mengelak hukuman berat dikenakan terhadap pasukan itu.

“PFAM memandang serius tentang isu tunggakan gaji pemain dan akan membawa perkara ini ke peringkat Badan Penyelesaian Pertikaian Nasional (NDRC) dalam masa terdekat,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan sebuah kelab besar berpangkalan di Borneo dan beraksi dalam Liga M berdepan masalah pembayaran gaji pemainnya.

Tiga pasukan Borneo yang ketika ini terlibat dalam pertandingan anjuran Liga M ialah Sarawak United dan Sabah FC bagi Liga Super, manakala Kuching City bersaing dalam Liga Perdana. – UTUSAN ONLINE