Pembinaan Muzium Alam Semulajadi ditangguh atas faktor kewangan

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 17 Okt — Perancangan kerajaan untuk membina Muzium Alam Semulajadi pertama negara di Putrajaya terpaksa ditangguhkan kerana faktor kewangan, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

-Advertisement-

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata sebelum ini, beberapa kawasan di sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah dikenal pasti untuk tujuan pembangunan muzium tersebut.

“Kita kerjasama dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sedang merancang untuk membangunkan muzium ini secara bersama.

“Ini termasuk mewujudkan satu pasukan petugas bagi membincangkan pelaksanaan cadangan pembinaan bangunan muzium ini di peringkat Persekutuan namun tertangguh kerana faktor kewangan,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri.

-Advertisement-

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada soalan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar) yang ingin tahu status terkini perancangan untuk membina Muzium Alam Semulajadi pertama di Malaysia dan adakah Kementerian bercadang untuk membina muzium itu di Sabah.

Mengenai cadangan membina Muzium Alam Semula Jadi di Sabah, Mohamaddin menjelaskan lima asas diperlukan bagi membolehkan pelaksanaan cadangan membina tersebut di negeri itu antaranya kerajaan-kerajaan negeri perlu bersedia menyerahkan tanah kepada kerajaan Persekutuan (bagi pembinaan muzium).

Selain itu, kerajaan negeri juga perlu bersedia menanggung sebahagian kos pembinaan muzium berkenaan, katanya.– BERNAMA