Peminjam masih punyai kedudukan kewangan kukuh – BNM

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Sebahagian besar peminjam isi rumah di negara ini masih mempunyai kedudukan kewangan kukuh dan mencukupi dalam berdepan kesan negatif pandemik COVID-19, demikian mengikut Bank Negara Malaysia (BNM).

-Advertisement-

Bank pusat itu dalam Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021, berkata hanya sebilangan daripada peminjam isi rumah yang berdepan tekanan kewangan.

Namun begitu, ia menegaskan, pemberian bantuan pembayaran balik pinjaman menyokong mereka yang berdepan tekanan.

Katanya, data menunjukkan penampan kewangan keseluruhan isi rumah di negara ini kekal kukuh dengan kedudukan 2.2 kali nisbah aset kewangan kepada hutang dan 1.5 kali nisbah kecairan aset kewangan kepada hutang.

“Berdasarkan hasil simulasi menunjukkan sebanyak 11 hingga 15 peratus peminjam isi rumah mungkin perlu mengurangkan penampan kewangan untuk membayar hutang dan hanya 1.9 peratus berisiko berdepan kekurangan penampan tunai atau deposit mereka.

“Bantuan pembayaran balik mengekang impak daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Penuh (FMCO),” kata laporan berkenaan.

Setakat akhir Jun 2021, sejumlah 12.8 peratus akaun pinjaman isi rumah atau 16 peratus daripada pendedahan pinjaman isi rumah tertunggak, berada di bawah pelan bantuan pembayaran balik berbanding masing-masing, 8.9 peratus dan 11.1 peratus pada Disember 2020.

Peminjam berpendapatan kurang RM5,000 setiap bulan membentuk dua pertiga akaun pinjaman berkenaan.

BNM berkata, dalam pada akses kepada bantuan pembayaran balik membantu secara sementara dalam menyokong keupayaan membayar hutang peminjam, pemulihan ekonomi yang kukuh kekal menjadi kunci untuk memulihkan kedudukan kewangan jangka panjang peminjam.

Beberapa tanda positif awal dilihat berikutan jumlah keseluruhan akaun isi rumah yang mendapat bantuan pembayaran balik mula berkurangan antara Februari (11.5 peratus) dan Mei (10.6 peratus), sebelum FMCO dikenakan.

-Advertisement-

“Terdapat perubahan ketara terhadap rancangan pengurangan ansuran berikutan beberapa peminjam yang sebelumnya memilih moratorium memperoleh semula keupayaan untuk membayar sebahagian hutang mereka.

“Walaupun peralihan kepada bantuan pembayaran yang lebih bersasar tidak disertai dengan kemerosotan ketara terhadap kualiti aset isi rumah, namun langkah sekatan pergerakan yang diperbaharui diikuti dengan lanjutan selanjutnya bantuan pembayaran balik oleh bank pada Jun dan Julai untuk mengekalkan sokongan kepada peminjam terus mengaburi tahap sebenar kemungkinan terjadinya kemerosotan pada tempoh akan datang,” katanya.

Pada akhir Julai 2021, bahagian akaun pinjaman isi rumah dan pendedahan di bawah bantuan pembayaran balik meningkat mendadak kepada masing-masing, 25.4 peratus dan 30 peratus daripada jumlah akaun isi rumah dan pendedahan pinjaman.

Permohonan moratorium terbaharu memuncak pada separuh pertama Julai, dengan permohonan mingguan berkurangan secara mendadak selepas itu.

Peminjam yang memilih pakej bantuan terkini merentasi semua kumpulan pendapatan, yang mana dengan kriteria kelayakan bantuan yang lebih fleksibel, menunjukkan bahawa peningkatan akaun di bawah bantuan pembayaran balik baru-baru ini bukan hanya didorong oleh peminjam dalam kesusahan.

Tinjauan terkini oleh BNM dan bukti anekdot menunjukkan bahawa kira-kira satu pertiga peminjam yang memohon bantuan pembayaran balik sebahagian menggunakannya untuk membina penampan pencegahan, dan pada tahap yang lebih rendah untuk pelaburan dalam pasaran ekuiti.

Peminjam berkenaan, katanya, dijangka kurang mengalami kesukaran untuk meneruskan pembayaran balik ketika bantuan pembayaran semasa berakhir.

Bahagian akaun yang berkaitan dengan peminjam yang mengalami masalah secara sementara di bawah pelan bantuan pembayaran balik juga dijangka menyusut dari masa ke masa apabila keadaan ekonomi bertambah baik, seperti yang diperhatikan antara Februari dan Mei tahun ini.

Potensi kerugian kredit yang mungkin berlaku dinilai cukup dilindungi oleh peruntukan kerugian pinjaman bank. -BH