PUTRAJAYA 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Perbadanan Putrajaya (PPj) bersama Jabatan Kerja Raya Wilayah Persekutuan Putrajaya (JKRWPP), wakil Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pengurusan Fasiliti (FM), pihak kontraktor serta agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan susulan terhadap mock-up pencahayaan bagi kerja penaiktarafan lampu fasad Menara KBS, Presint 4, Putrajaya.
Pemeriksaan akhir itu bertujuan menilai hasil pencahayaan yang dicadangkan sebelum pelaksanaan sepenuhnya, termasuk penggunaan sistem RGBW pada bahagian sudut bangunan.
Penggunaan sistem berkenaan dijangka dapat meningkatkan keceriaan Menara KBS pada waktu malam, selain menyerlahkan elemen seni bina dan memperkukuh identiti visual bangunan sebagai sebahagian daripada landskap bandar Putrajaya.
-Advertisement-
Dalam pemeriksaan tersebut, aspek kualiti pencahayaan, keselesaan visual, keselamatan serta kesesuaian reka bentuk turut diberi perhatian bagi memastikan pelaksanaan penaiktarafan selaras dengan prinsip dan garis panduan Putrajaya Lighting Masterplan (PLMP).
Kerjasama antara PPj, JKRWPP, KBS, pihak pengurusan fasiliti, kontraktor serta agensi berkaitan mencerminkan usaha berterusan dalam memastikan elemen pencahayaan bangunan di Putrajaya dilaksanakan secara terancang, berkualiti dan menepati identiti bandar – The Capital Post