MBPP Sita Dua Premis Perniagaan Tanpa Lesen Dalam Ops Tegas

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGE TOWN 6 Oktober 2026 (The Capital Post) – Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasaan melaksanakan Ops Tegas terhadap dua premis perniagaan di sekitar Jalan Tun Dr. Awang, Sungai Nibong yang didapati beroperasi tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Operasi yang dijalankan pada 10.30 pagi itu melibatkan sebuah premis makanan dan minuman serta sebuah kedai gunting rambut yang didapati tidak memiliki lesen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing.

Pemeriksaan di salah sebuah premis turut mendapati seorang pekerja warga asing gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.

Susulan itu, MBPP mengambil tindakan menutup dan menyita kedua-dua premis dengan menutup akses utama serta mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti perniagaan dihentikan serta-merta. Peralatan perniagaan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti tanpa lesen turut disita.

Pihak yang mengaku sebagai pengusaha atau wakil premis diberikan notifikasi bertulis dan penerangan mengenai arahan penguatkuasaan yang perlu dipatuhi, termasuk larangan membuka atau merosakkan pita penghadang dan seal, memasuki premis bagi tujuan perniagaan serta meneruskan sebarang aktiviti perniagaan sehingga perkara berkaitan diselesaikan.

-Advertisement-

Tindakan tersebut dilaksanakan berdasarkan Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 [Akta 171], yang memberikan kuasa kepada PBT mengambil tindakan yang difikirkan perlu bagi menjaga keselamatan, kesihatan dan kesenangan awam.

Operasi berkenaan turut melibatkan Unit Tindakan Khas, Jabatan Pelesenan, Jabatan Penguatkuasaan serta Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam MBPP.

MBPP menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan terhadap pihak yang menjalankan perniagaan tanpa lesen, melanggar syarat ditetapkan atau menjalankan aktiviti yang boleh menimbulkan kacau ganggu serta menjejaskan keselamatan, kesihatan dan keselesaan awam.

Pelaksanaan berterusan Ops Tegas itu merupakan komitmen MBPP bagi memastikan aktiviti perniagaan dalam kawasan pentadbirannya dijalankan secara teratur, sah dan bertanggungjawab serta mematuhi peraturan yang ditetapkan – The Capital Post