KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi belum dapat beroperasi berikutan pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Semenyih sehingga jam 7.30 pagi tadi.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, pencemaran berada pada tahap lima ton di muka sauk LRA Bukit Tampoi dan tujuh ton di muka sauk LRA Sungai Semenyih.
Menurutnya, dalam tempoh lebih 14 jam sebelum ini, Air Selangor tidak dapat menghasilkan air sebanyak 602 juta liter sehari untuk dibekalkan kepada pengguna di 274 kawasan.
“Pemulihan gangguan bekalan air tidak berjadual tidak dapat ditentukan sehingga kini. Air Selangor menyarankan pengguna untuk mengambil bantuan bekalan air alternatif di pili-pili awam kerana bantuan melalui lori-lori tangki air diutamakan kepada premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Elena berkata, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat dan bantuan bekalan air bersih di pusat khidmat setempat yang disediakan.
Katanya, Air Selangor akan mengemaskini maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual dari masa ke masa menerusi semua medium komunikasi rasmi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang www.airselangor.com.
“Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi Air Selangor di Google Play atau Apps Store untuk mendapatkan maklumat terkini bekalan air,” katanya.
Semalam, empat daerah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dilaporkan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual susulan pencemaran air mentah di Sungai Semenyih.
Ia berikutan LRA Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya berikutan daripada insiden pencemaran tersebut.
Henti tugas loji terbabit menyebabkan 309,605 akaun pengguna di 273 kawasan berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual. -SINAR HARIAN