KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek keselamatan negara tidak diabaikan walaupun negara memberi pengecualian visa kepada beberapa negara baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, agensi keselamatan sudah diarah memperkuatkan tapisan keselamatan supaya kemudahan pengecualian visa itu tidak menjejaskan keselamatan negara.
“Ada Ahli Yang Berhormat yang mungkin gusar kerana isu keselamatan dibangkitkan, maka agensi berkaitan diminta memperkuatkan tapisan keselamatan bagi memastikan kemudahan ini tidak menjejaskan keselamatan negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara, hari ini.
Baru-baru ini, kerajaan memberi pengecualian visa selama 30 hari untuk rakyat China dan India ke Malaysia bermula 1 Disember depan, dalam semangat kerjasama strategik hubungan dua hala Malaysia-China yang genap 50 tahun tahun depan.
Anwar berkata, ia adalah tambahan kemudahan pengecualian visa sedia ada yang kini dinikmati rakyat dari negara Teluk dan beberapa negara Asia Barat.
– BeritaHarian