Public Bank untung lebih besar sembilan bulan 2023

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM6.47 bilion dan keuntungan bersih sebanyak RM5.03 bilion bagi tempoh sembilan bulan 2023, dengan pertumbuhan masing-masing sebanyak 2.6 peratus dan 14.3 peratus berbanding tempoh sama 2022.

-Advertisement-

Dalam tempoh dikaji, pendapatan faedah bersih meningkat 0.7 peratus dan pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 3.4 peratus berbanding tempoh sama 2022.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata kumpulan terus mempamerkan keteguhan dalam prestasi kewangan bagi sembilan bulan 2023, dengan perniagaan pinjaman dan deposit kekal berada pada landasan pertumbuhan yang positif.

“Kumpulan juga terus menyelenggara persekitaran operasi yang mencabar dengan pengurusan kos berhemat dan kualiti aset yang stabil, mencatatkan pulangan ekuiti bersih yang memberangsangkan sebanyak 13.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan.

Menuju ke hadapan, Ah Lek berkata, Kumpulan Public Bank akan terus beroperasi dengan cekap, mengekalkan pengurusan risiko kredit yang berhemat di samping memelihara tadbir urus korporat dan amalan pengurusan risiko yang baik.

Beliau berkata, daya tahan kumpulan yang disokong oleh kedudukan modal dan mudah tunai yang baik, serta kualiti aset yang teguh dan rizab kerugian pinjaman yang berhemat akan membolehkan kumpulan menjana keuntungan mampan pada ketika kitaran perniagaan mencabar.

Kumpulan Public Bank terus berhemat dalam pengurusan kos dan mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 33.7 peratus dalam sembilan bulan 2023.

Nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar kekal stabil pada 0.58 peratus, mencerminkan profil risiko yang teguh bagi portfolio pinjaman kumpulan.

-Advertisement-

Peruntukan pengurangan nilai pinjaman adalah lebih baik sebanyak 78.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama sebelum ini, manakala nisbah perlindungan kerugian pinjaman terus pada tahap yang baik sebanyak 186.9 peratus pada akhir September 2023.

Dalam tempoh itu, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.9 peratus kepada RM393.6 bilion.

Jumlah deposit pelanggan meningkat pada kadar tahunan sebanyak 4.7 peratus kepada RM408.6 bilion dan pada akhir September 2023, nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar Kumpulan Public Bank berada pada 0.58 peratus, ketara lebih rendah daripada nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar industri perbankan domestik sebanyak 1.72 peratus.

Walaupun kualiti asetnya teguh, kumpulan mengekalkan tahap peruntukan yang berhemat dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman sebanyak 186.9 peratus, jauh melebihi nisbah perlindungan kerugian pinjaman industri perbankan sebanyak 91.2 peratus.

Pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 3.4 peratus kepada RM1.87 bilion dalam sembilan bulan 2023, terutamanya disumbangkan oleh perniagaan pertukaran asing dan pembrokeran saham, masing-masing berkembang sebanyak 29.5 peratus dan 22.5 peratus berbanding tempoh sama 2022.

Pada akhir September 2023, Kumpulan Public Bank mengekalkan tahap modal yang baik dengan nisbah modal ekuiti biasa Kumpulan 1, nisbah modal Kumpulan 1 dan jumlah nisbah modal masing-masing berada pada 14.5 peratus, 14.5 peratus dan 17.4 peratus.

– BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373