Penjaga gol wira Lazio

Estimate Reading Time: < 1 minute

ROME: Penjaga gol Lazio, Ivan Provedel menjaringkan gol penyamaan pada saat-saat akhir bagi membantu pasukannya seri 1-1 dengan Atletico Madrid dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

-Advertisement-

Pemain Itali itu menanduk masuk pada saat terakhir untuk berkongsi satu mata sekali gus membuatkan pemain Atletico Madrid tergamam.

Pelawat dari Sepanyol itu kelihatan pasti untuk membawa pulang tiga mata dari Stadio Olimpico susulan jaringan Pablo Barrios pada babak pertama.

Namun dengan masa memasuki minit ke-95, penjaga gol berusia 29 tahun itu meninggalkan kawasan golnya untuk menyertai serangan susulan satu sepakan sudut.

Sepakan sudut itu pada awalnya dikeluarkan oleh pertananan Atletico namun ia singgah semula di kaki pengambilnya yang kemudian membuat umpanan kepada Luis Alberto.

-Advertisement-

Pemain tengah itu kemudian melakukan hantaran silang berbahaya dari kiri dan ia melepasi semua pemain sebelum menemui Provedel yang melonjak tinggi dan menanduk kencang melepasi penjaga gol lawan Jan Oblak.

Saat menakjubkan itu meletakkan namanya dalam sejarah Liga Juara-Juara apabila muncul penjaga gol kedua menjaringkan gol menerusi permainan terbuka pada pertandingan itu.

Penjaga gol Standard Liege, Sinan Bolat muncul pemain pertama apabila dia menanduk masuk gol lewat permainan menentang AZ Alkmaar di peringkat kumpulan pada Disember 2021.

Peminat tidak percaya dengan apa yang mereka saksikan dan rakaman video gol itu pantas tular di media sosial.
-Agensi
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5309