Perkukuh teknik 3M tangani isu keciciran akademik pelajar

Estimate Reading Time: 2 minutes

Dakwaan ribuan pelajar tidak layak memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana gagal subjek Bahasa Melayu atau Sejarah menimbulkan pelbagai reaksi mengejutkan, sekali gus menimbulkan persoalan di mana silapnya dan mengapa ia terjadi.

-Advertisement-

Pelbagai tanggapan dan gambaran diberikan banyak pihak, namun hakikatnya banyak faktor boleh mempengaruhi dakwaan itu seperti perbezaan tahap kognitif setiap pelajar, motivasi rendah, kurang pemantauan, sama ada di rumah atau sekolah, mengalami masalah kesihatan atau kestabilan emosi dan sukar memberi tumpuan ketika belajar.

Ia termasuk murid sukar mendapat akses sumber pendidikan, sama ada di rumah atau sekolah, selain gagal menerima teks, bahan digital atau guru berkualiti, faktor sosial dan rakan sebaya serta latar belakang keluarga bermasalah turut mempengaruhi kemampuan murid menguasai pelajaran.

Dalam aspek ini, perlu disedari setiap individu khasnya murid mempunyai keunikan tersendiri, sekali gus menjadi faktor mengapa berlaku keciciran dalam penguasaan akademik. Namun, tidak perlu menuding jari siapa silap ketika ini sebaliknya inisiatif khas perlu diwujudkan bagi mencegah isu ini berlarutan.

Setiap sekolah rendah di Malaysia mempunyai Kelas Pemulihan bagi menangani murid khususnya Tahap Satu (Tahun Satu hingga Tahun Tiga) berdepan masalah membaca, menulis dan mengira. Tidak timbul isu mengapa perkara ini tidak boleh ditangani.

Guru Pemulihan Khas dilantik adalah terlatih dalam bidang pedagogi pendidikan dan memiliki pelbagai pendekatan serta inovasi untuk menangani pelajar bermasalah dalam pembelajaran ini. Apa yang penting, Program Pemulihan Khas ini perlu diperkukuh semula dengan idea dan suntikan baharu.

Guru perlu lebih kreatif dan inovatif

Guru Pemulihan Khas juga perlu lebih kreatif dan inovatif dalam kelas kepada murid pemulihan di sekolah rendah. Pelbagai intervensi perlu dilakukan demi memastikan penguasaan membaca dapat dikuasai murid sebelum melangkau ke Tahap Dua.

Sebaliknya, jika berlaku keciciran di sekolah menengah pula, pelajar perlu diberi intervensi 2M (membaca dan menulis) dengan segera ketika di Tingkatan Satu. Guru Intervensi 2M ini biasanya dalam kalangan guru Panitia Bahasa Melayu dan diberikan kursus khas dalam Program Intervensi ini.

Pelajar keciciran ini akan dipulihkan dalam tempoh enam bulan pertama penggal persekolahan. Pendekatan pelbagai kemahiran guru perlu diterapkan dengan menguasai strategi Visual, Auditori dan KInestetik (VAK) terhadap pelajar mengalami masalah membaca.

-Advertisement-

Dalam pada itu, pelbagai program perlu dirangka supaya pelajar ini dapat mengikuti program pemulihan dengan penuh minat dan fokus bagi meningkatkan kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira mereka.

Peranan guru dan ibu bapa perlu lebih menyeluruh dalam bagi mewujudkan minat pelajar untuk terus belajar walaupun mempunyai kelemahan.

Paling penting, setiap guru perlu lebih kreatif mengajar murid yang diketahui lemah membaca atau mengira seperti menggunakan pelbagai pendekatan, teknik dan strategi sama ada menggunakan bahan maujud mahupun berbentuk digital.

Di samping itu, sokongan ibu bapa dan ahli keluarga juga amat penting bagi meningkatkan motivasi pelajar bermasalah ini untuk terus belajar.

Apa yang penting, menyedari masalah berlaku ini, program atau inisiatif meningkatkan penguasaan pelajar menerusi 3M di sekolah rendah perlu diberi penekanan dan diperkukuhkan semula.

Isu keciciran murid dalam pendidikan seperti tidak boleh membaca memberi gambaran jelas pihak berwajib perlu membuat sesuatu perancangan dan langkah jangka panjang bagi mengatasinya.

Jika tidak, usaha melahirkan masyarakat berilmu, berkemahiran dan berdaya saing di peringkat nasional dan global sukar dicapai pada masa depan, terutama pada era digitalisasi ini.

– BH