Permohonan ADUN Seremban Jaya tidak hadir diluluskan – Speaker

Estimate Reading Time: < 1 minute

SEREMBAN- Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar hari ini meluluskan permohonan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya P. Gunasekaran untuk tidak hadir pada persidangan DUN.

-Advertisement-

Zulkefly berkata, beliau telah menerima permohonan Gunasekaran (PH-Seremban Jaya) untuk tidak hadir persidangan DUN yang berlangsung selama lima hari bermula hari ini.

“ADUN Seremban Jaya telah mengemukakan notis permohonan untuk tidak menghadirkan diri dalam persidangan pada 4 Nov lepas dan permohonan beliau saya luluskan,” katanya ketika berucap pada persidangan DUN di Bangunan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

-Advertisement-

Sebelum ini, Gunasekaran, yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, telah dituduh di Mahkamah Sesyen Melaka pada 29 Okt kerana memberi sokongan kepada LTTE dan atas pertuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 31 Okt lepas.- BERNAMA