PUTRAJAYA 18 Mei 2026, (The Capital Post) – Kementerian Pendidikan Tinggi memaklumkan bahawa permohonan tuntutan Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dan Program Pendidikan Khas (PPK) bagi pelajar sedia ada kini dibuka secara rasmi melalui Sistem Penajaan Orang Kurang Upaya (SisPO) untuk tahun 2026.
Permohonan tersebut mula dibuka pada 18 Mei 2026 bermula jam 10.00 pagi dan akan ditutup pada 19 Jun 2026 tepat jam 11.59 malam. Pelajar yang layak disaran mengemukakan permohonan dalam tempoh ditetapkan bagi memastikan proses tuntutan bantuan dapat dilaksanakan dengan lancar.
Kementerian turut menjelaskan bahawa permohonan boleh dibuat sepenuhnya menerusi platform SisPO yang disediakan khusus bagi memudahkan urusan pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) mendapatkan bantuan kewangan dan kemudahan berkaitan pendidikan khas.
-Advertisement-
Menurut kenyataan itu, inisiatif BKOKU dan PPK merupakan antara usaha berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif serta menyokong kebajikan pelajar OKU di institusi pengajian tinggi seluruh negara.
Bagi sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh menghubungi talian rasmi 03-8870 6347 atau sispo@mohe.gov.my yang disediakan oleh kementerian atau mendapatkan maklumat tambahan menerusi portal rasmi BKOKU. -The Capital Post