KUANTAN 18 Mei 2026, (The Capital Post) – Seramai hampir 1,800 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan dalam Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini.
Majlis yang menghimpunkan lebih 2,000 hadirin itu turut meraikan pencapaian membanggakan negeri Pahang yang berjaya mencatat kedudukan kedua terbaik di peringkat nasional dengan Gred Purata Negeri (GPN) sebanyak 4.08.
Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Ahmad Farhan bin Dato’ Sri Fauzi berkata, kejayaan tersebut membuktikan kesungguhan dan komitmen tinggi para pelajar serta sokongan berterusan daripada ibu bapa dan warga pendidik dalam memastikan kecemerlangan akademik dapat dicapai.
Dalam majlis berkenaan, beliau mewakili YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan insentif dan sumbangan khas kepada pelajar lepasan SPM 2025 yang memperoleh keputusan cemerlang bermula 4A hingga 12A.
Turut menerima penghargaan ialah sembilan pelajar cemerlang daripada keluarga dalam senarai eKasih yang menerima komputer riba menerusi inisiatif Peranti MADANI di bawah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
-Advertisement-
Selain meraikan kejayaan pelajar, program tersebut turut menampilkan slot penerangan berkaitan laluan ke institusi pengajian tinggi melalui sistem UPU yang disampaikan oleh wakil Kementerian Pendidikan Tinggi bagi membantu pelajar membuat perancangan pendidikan selepas SPM.
Antara yang hadir termasuk Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Tuan Haji Shaiful-Azizi Sukri, Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan ICU Negeri Pahang, YM Tengku Dato’ Nor Asmaliza binti Ku Lah, wakil rasmi Pengerusi Yayasan Taqwa, Tuan Saifulizan Haron serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Encik Norkasmadi Nordin.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa dan para pendidik yang disifatkan sebagai tonggak utama dalam membantu membentuk kejayaan pelajar sehingga mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Kerajaan MADANI, katanya, akan terus memberi penekanan terhadap agenda pendidikan sebagai usaha memperkukuh masa depan generasi muda serta melahirkan modal insan berkualiti untuk negara. – The Capital Post