Pesakit saraf tunjang terima caruman Perkeso

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU PAHAT- Seorang wanita yang mengalami masalah saraf tunjang sehingga menyebabkan dirinya lumpuh tidak mengetahui yang dirinya layak untuk mendapatkan bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

-Advertisement-

Menurut wanita terbabit, Rozita Othman, 40, dia mula mengalami masalah berkenaan pada 2009 lagi, setelah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Selangor.

Ketika itu Rozita bekerja sebagai jurujual alat penapis air dan setelah terlibat dalam kemalangan berkenaan beliau tidak lagi mampu bekerja, selain tidak boleh berjalan sebagaimana individu normal.

“Hampir 10 tahun saya hanya boleh bergerak dengan menggunakan kerusi roda dan saya langsung tidak mengetahui yang saya ini layak untuk mendapatkan bantuan.

“Saya agak terkejut apabila pegawai Perkeso menyatakan yang saya ini boleh memohon bantuan berkenaan setelah kemalangan ke atas diri saya ini adalah berpunca daripada pekerjaan,” katanya ketika ditemui Bernama di kediamannya, di Kampung Kolam Air, Parit Sulong di sini, hari ini.

Rozita berkata, sepanjang tempoh berkenaan jugalah dia terbeban dengan menggunakan wang simpanan untuk perbelanjaan hariannya, selain meminta belas kasihan daripada adik beradiknya.

-Advertisement-

Sementara itu, Timbalan Pengurus Perkeso Cawangan Batu Pahat Saifuddin Mohd Nor berkata hasil semakan yang dilakukan oleh pihaknya Rozita layak untuk mendapat bantuan di bawah Skim Keilatan.

Antara bantuan yang layak diterima Rozita ialah kerusi roda memandangkan kerusi roda yang digunakan telah lama dan mengalami kerosakan yang mungkin membahayakannya.

“Dengan keadaan Rozita yang tidak mampu berdiri dan mengawal untuk membuang air, sama ada kecil atau besar pihak kami turut memberikan bantuan lampin pakai buang untuknya.

“Kami di Perkeso akan melakukan semakan dan rujukan ke persidangan Jemaah Doktor bagi menentukan sama ada dia disahkan menghidap keilatan bagi menerima bayaran bantuan ilat atau pencen ilat berdasarkan tarikh morbid jika carumannya memenuhi syarat kelayakan caruman,” katanya.- BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373