GEORGETOWN 8 Julai 2026, (The Capital Post) – Kementerian Perpaduan Negara menerusi Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang telah menganjurkan Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 sebagai usaha memperkukuh budaya membaca serta memartabatkan seni tulisan sebagai warisan masyarakat.
Majlis perasmian penutup program tersebut telah disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Dato’ Seri Utama Haji Ramli Ngah Talib, Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, yang turut menyaksikan kejayaan penganjuran acara berkenaan dalam menghimpunkan elemen ilmu, budaya dan seni.
Penganjuran Pesta Buku ASEAN dan Festival Kaligrafi Perpaduan 2026 dilihat sebagai inisiatif strategik yang bukan sahaja meraikan perkembangan industri perbukuan, malah mengangkat seni kaligrafi sebagai simbol identiti, nilai ketamadunan serta medium yang mampu menyatukan masyarakat berbilang kaum.
-Advertisement-
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam ucapan aluannya berkata, penganjuran pesta buku tersebut bertepatan sebagai platform untuk memperluaskan akses masyarakat terhadap bahan bacaan berkualiti, menyemai budaya ilmu dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat.
Beliau turut menegaskan bahawa program seumpama itu memainkan peranan penting dalam merancakkan industri buku tempatan selain memperkukuh usaha kerajaan dalam membina masyarakat berpengetahuan yang menghargai kepelbagaian budaya dan warisan negara. – The Capital Post