JOHOR BAHRU 8 Mei 2026 (The Capital Post) – Pakatan Harapan (PH) akan menganjurkan Konvensyen Pakatan Harapan 2026 pada 17 Mei ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor sebagai usaha memperkukuh kesepaduan parti serta menyelaras gerak kerja politik menghadapi cabaran semasa negara.
Konvensyen yang membawa tema “Tekad Madani, Harapan Rakyat” itu dijadual berlangsung dari jam 8 pagi hingga 6 petang dan dijangka menghimpunkan pimpinan serta perwakilan daripada komponen gabungan berkenaan.
Menurut kenyataan media PH, penganjuran konvensyen tersebut bertujuan memperincikan hala tuju gabungan itu selain memperkukuh organisasi parti dalam mendepani landskap politik semasa.
Sebagai tunjang kepada Kerajaan MADANI, PH memaklumkan fokus utama ketika ini adalah untuk memperkukuh ekonomi negara, memastikan kestabilan politik serta meningkatkan keyakinan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
-Advertisement-
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyampaikan amanat khas kepada para perwakilan sepanjang konvensyen berlangsung.
Turut dijangka hadir ialah barisan kepimpinan utama PH bagi mempererat kesatuan dalam gabungan serta memperkukuh kesiapsiagaan parti menghadapi perkembangan politik semasa.
Untuk rekod, kali terakhir Konvensyen Pakatan Harapan dianjurkan adalah pada tahun 2022 dan penganjuran semula program itu dilihat sebagai simbol komitmen berterusan gabungan berkenaan dalam memperkasa agenda reformasi serta memastikan aspirasi Kerajaan MADANI terus diterjemahkan demi kepentingan rakyat. -The Capital Post