PH, BN perlu bertanggungjawab jika pelabur asing keluarkan dana mereka – GERAKAN

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR : GERAKAN membidas dakwaan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, yang mengatakan faktor ‘gelombang hijau’ di bawah Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS menyebabkan timbul kerisauan terhadap pelabur asing hingga mereka keluar dari negara ini.

-Advertisement-

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata kenyataan kononnya pelaburan asing terus mengeluarkan dana mereka berjumlah RM3.66 billion minggu lalu adalah tidak benar dan kenyataan dikeluarkan Kor Ming itu hanya untuk mengalihkan perhatian rakyat.

Beliau berkata, Kedah contohnya sudah menerima jumlah pelaburan sebanyak RM11.2 billion dalam sektor pembuatan dari Januari hingga September 2022 dan menduduki tempat pertama di Malaysia.

Susulan itu, katanya, jika pelabur asing benar-benar takut dengan gelombang hijau, Kedah tidak berupaya mencapai jumlah pelaburan sedemikian rupa.

“Kini bukan gelombang hijau yang perlu dirisaukan oleh kerajaan campuran, sebaliknya adalah gelombang rakyat yang lahir disebabkan ketidakpuasan dan ketidakpercayaan terhadap kerajaan hari ini mentadbir negara.

“Sebenarnya tujuan kenyataan dikeluarkan Kor Ming itu hanya untuk mengalih perhatian rakyat daripada ketidakupayaan kerajaan campuran menyelesaikan masalah ekonomi.

-Advertisement-

“Kor Ming sepatutnya berbincang terlebih dulu dengan rakan DAP sebelum menyalahkan pihak lain terhadap kemelesetan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hoe Chai berkata, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab jika terdapat pengeluaran semula dana pelaburan asing dan bukannya disebabkan gelombang hijau.

“Saya hairan ketika zaman Datuk Seri Najib Razak, ketika DAP menjadi pembangkang mereka sentiasa salahkan kerajaan apabila berlaku kemelesetan ekonomi. Kini apabila dalam kerajaan, DAP menyalahkan pihak pembangkang pula.

“Jadi, Kor Ming jika tidak faham ekonomi, lebih baik duduk diam dan jaga tandas baik-baik. Jangan membuat kenyataan palsu hingga mengelirukan orang ramai,” katanya.

– Berita Harian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373