Pharmaniaga sedia edar vaksin, perketat aspek keselamatan

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR, 28 Dis — Pharmaniaga Bhd kini bersedia untuk menjalankan usaha pengedaran vaksin COVID-19 secara efisien yang dijangkakan pada akhir suku pertama tahun depan, sebaik mendapat arahan kerajaan.

-Advertisement-

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, syarikat itu juga telah menubuhkan satu pasukan merangkumi hampir 400 pekerja mahir dalam bidang logistik dan pengedaran di lima gudang di Selangor, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, selain memastikan penghantaran secara ‘Just-in-Time’ atau JIT (strategi pengoptimuman kecekapan pengedaran dan mengikut permintaan secara tepat) ke hospital-hospital mengikut kapasiti dan jadual vaksinasi yang akan diputuskan kerajaan, syarikat itu turut memberi tumpuan utama terhadap aspek keselamatan ketika pengedaran vaskin.

“Vaksin ini akan menjadi produk yang amat dikehendaki. Oleh itu, Pharmaniaga akan memperketat aspek keselamatan di gudang-gudang semasa proses pengangkutan dan juga di lokasi penyimpanan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai persiapan syarikat bagi menjalankan usaha pengedaran vaksin tersebut.

Zulkarnain berkata, penghantaran secara JIT pula bertujuan mengelak berlaku lambakan stok di stor penyimpanan hospital kerajaan.

Pharmaniaga juga telah menyatakan kesediaan untuk melakukan perubahan diperlukan di kilangnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd di Puchong bagi proses pembangunan pembotolan untuk vaksin COVID-19.

Pharmaniaga mempunyai enam buah kilang di Malaysia iaitu Idaman Pharma Manufacturing Sdn Bhd di Sungai Petani (Kedah) dan di Seri Iskandar (Perak), Pharmaniaga Manufacturing Bhd di Bangi, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd, di Puchong, Paradigm Industry Sdn Bhd di Klang, Bio-Collagen Technologies Sdn Bhd di Seri Kembangan (semua di Selangor) selain kilang PT Errita Pharma di Bandung, Indonesia.

Dalam pada itu, Zulkarnain turut memberi jaminan bahawa gudang-gudang Pharmaniaga mempunyai kapasiti mencukupi bagi penyimpanan vaksin dengan julat suhu mencecah 2-8 darjah Celsius (2C-8C).

-Advertisement-

“Jumlah kapasiti gudang kami hampir mencecah 30 juta vial (tabung kaca simpanan) pada bila-bila masa,” katanya.

Mengulas mengenai status halal vaksin, beliau menjelaskan perkara itu perlu dirujuk kepada pihak yang bertanggungjawab.

“Apa yang harus diingatkan adalah bagi sebarang pengeluaran ubat dan vaksin, kebenaran pensijilan halal adalah hanya ke atas tapak kilang setelah meneliti sumber bahan mentah, proses kerja dan isu kemasukan bahan terlarang ke tapak kilang.

“Sebarang ubat generik dan vaksin tidak benarkan untuk dilabel dengan sebarang pensijilan halal,” katanya.

Setakat ini, Pharmaniaga belum mendapat sebarang arahan berhubung perkara tersebut.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan pelantikan sebarang syarikat logistik dan pengedaran vaksin COVID-19 adalah tertakluk kepada kerajaan.

Pada 22 Disember lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan telah memeterai perjanjian dengan syarikat farmaseutikal AstraZeneca bagi memperoleh 6.4 juta dos vaksin COVID-19 iaitu tambahan 10 peratus lagi kepada bekalan vaksin yang bakal diterima oleh negara ini.

Ini bermakna kerajaan kini memperoleh keseluruhan jaminan bekalan sebanyak 40 peratus, termasuk menerusi dua perjanjian yang dimeterai bersama fasiliti COVAX dan Pfizer sebelum ini yang dijadual menerima bekalan meliputi 30 peratus rakyat negara ini.– BERNAMA