PKP menyeluruh jejas golongan rentan, B40

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR: Golongan rentan dan berpendapatan rendah akan menjadi paling terkesan seandainya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh dilaksanakan, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

-Advertisement-

Justeru, beliau menegaskan, dengan pertimbangan sewajarnya, kerajaan bersetuju membuka sektor ekonomi dengan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) dan mengurangkan mobiliti sosial.

“Kita melihat betapa besarnya impak PKP 1.0 kepada rakyat dan ekonomi. Apabila PKP menyeluruh dilaksanakan, golongan rentan dan berpendapatan rendah yang paling terkesan.

“Setiap rakyat berhak dilindungi dari semua aspek seperti kesihatan, kebajikan dan juga jaminan punca rezeki masing-masing,” katanya dalam hantaran di Facebook rasmi beliau.

Tengku Zafrul berkata, tindakan yang diambil kerajaan itu adalah yang terbaik dalam mengimbangi keselamatan nyawa rakyat dan kelangsungan ekonomi.

Namun, beliau menasihatkan supaya semua pihak bertanggungjawab mematuhi SOP demi keselamatan nyawa semua, serta kelangsungan ekonomi tanah air.

-Advertisement-

Berdasarkan kaji selidik kesan PKP 1.0 pada isi rumah dan perniagaan, menunjukkan 53 peratus terjejas teruk oleh PKP.

Pelaksanaan PKP secara menyeluruh akan menggugat mata pencarian kira-kira 2.8 juta rakyat bekerja sendiri atau mengambil upah harian dengan sebanyak satu pertiga isi rumah tidak mampu mengekalkan perbelanjaan untuk lebih sebulan; 82 peratus pekerja swasta hanya mempunyai simpanan kurang dua bulan dan kumpulan B40 yang bekerja sendiri tidak mempunyai insurans perlindungan pekerjaan.

Kesan kepada perniagaan pula memperlihatkan 68 peratus perniagaan melaporkan tiada jualan semasa PKP 1.0; 42.5 peratus perniagaan memerlukan lebih enam bulan untuk pulih dan dua pertiga perniagaan mempunyai atau akan mempunyai tunggakan hutang dalam tempoh enam bulan.

Kesan PKP menyeluruh akan lebih dirasai golongan berpendapatan rendah dan pekerja sektor informal dengan enam daripada 10 isi rumah tidak dapat membeli makanan yang mencukupi untuk keluarga, meningkat hampir dua kali sejak pandemik.

Sebanyak 44 peratus ibu bapa risau kemampuan memastikan makanan yang mencukupi dan memberi pendidikan yang sewajarnya kepada anak-anak.-BH