Polis tumpas geng ‘Arvind’ aktif samun warga asing di Kulim

Estimate Reading Time: < 1 minute

KULIM, 5 April  — ‘Geng Arvind’, yang aktif melakukan jenayah samun warga asing di sekitar daerah Kulim sejak awal tahun ini tumpas berikutan tertangkapnya dua lelaki termasuk ketua kumpulan itu, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Azhar Hashim berkata kedua-dua suspek masing-masing berusia 26 dan 27 tahun itu ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dalam dua serbuan berasingan antara jam 2 dan 2.30 petang di sekitar daerah ini.

“Penahanan kedua-dua suspek ini sekali gus berjaya menyelesaikan 10 kes samun di sekitar Kulim,” katanya dalam kenyataan hari ini.

-Advertisement-

-Advertisement-

Menurutnya, kedua-dua suspek bergerak dengan menunggang motosikal di kawasan tumpuan seperti pasar pagi dan pasar raya dengan menyasarkan golongan wanita warga asing yang memegang beg tangan dan berjalan sendirian.

Katanya, pihaknya merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5, topi keledar, sehelai jaket dan serangkai kunci daripada suspek.

Azhar berkata siasatan lanjut mendapati ketua kumpulan berusia 27 tahun dan dikenali sebagai Arvind itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau yang melibatkan kes samun dan dadah manakala rakannya mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Katanya, kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu direman selama tujuh hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373