KOTA BELUD, 6 Ogos 2026 (The Capital Post) – Pembinaan Politeknik Kota Belud menerusi Rolling Plan 3 (RP3) Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkemahiran tinggi di Sabah dengan menawarkan program yang memenuhi keperluan industri berteraskan teknologi masa hadapan.
Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir berkata projek bernilai kira-kira RM250 juta itu merupakan kesinambungan perancangan yang bermula sejak 2017 dan kini memasuki fasa pelaksanaan selepas proses pengambilan tanah berjaya diselesaikan.
Menurut beliau, kerja-kerja penyediaan reka bentuk, perancangan terperinci serta pembangunan fizikal akan dimulakan di bawah RP3 RMK13 dengan sasaran institusi tersebut mula beroperasi pada tahun 2030.
Politeknik yang akan dibina di Kampung Kesapang itu dijangka menerima pengambilan awal seramai 500 pelajar dengan menawarkan program Diploma Teknologi Maklumat, Diploma Teknologi Elektrik (Tenaga Hijau) dan Diploma Teknologi Pertanian Pintar yang dirangka mengikut keperluan semasa pasaran pekerjaan.
-Advertisement-
Beliau berkata kurikulum yang ditawarkan turut memberi penekanan kepada penguasaan kecerdasan buatan (AI) serta teknologi baharu bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi permintaan industri di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Dalam perkembangan sama, Dr. Zambry berkata peningkatan permohonan kemasukan ke politeknik membuktikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) semakin mendapat kepercayaan sebagai laluan pendidikan utama, dengan hampir 98 peratus graduannya berjaya memperoleh pekerjaan selepas tamat pengajian.
Terdahulu, beliau turut menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Cura Pampasan Pengambilan Tanah kepada pemilik tanah yang terlibat sebagai simbol penghargaan kerajaan, sekali gus menandakan projek pembangunan Politeknik Kota Belud kini memasuki fasa pelaksanaan. Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim, bersama barisan pengurusan tertinggi kementerian dan wakil agensi berkaitan. – The Capital Post