PPKB Perkukuh Kesiapsiagaan Bencana Negara

Estimate Reading Time: < 1 minute

BATU PAHAT 29 Jun 2026 (The Capital Post) – Usaha mempertingkat kesiapsiagaan pengurusan bencana negara diperkukuh menerusi Majlis Peluncuran dan Simulasi Pengurusan Operasi Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) yang disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Sekolah Kebangsaan Seri Medan, hari ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah turut hadir pada majlis tersebut yang menampilkan simulasi pengoperasian PPKB sebagai sebahagian daripada langkah memperkukuh koordinasi antara agensi berkaitan dalam menghadapi situasi kecemasan dan bencana.

Dalam ucapan perasmian, Timbalan Perdana Menteri menjelaskan bahawa pembangunan PPKB bernilai RM7.66 juta itu merupakan satu inisiatif penting kerajaan dalam menyediakan fasiliti pemindahan yang lebih teratur, selamat dan selesa kepada mangsa bencana, selain meningkatkan kecekapan pengurusan bantuan di peringkat lapangan.

Beliau turut menegaskan bahawa pengoperasian pusat berkenaan akan memperkukuh kerjasama rentas agensi bagi memastikan setiap bantuan dapat disalurkan dengan lebih cepat, sistematik dan berkesan kepada golongan terjejas.

-Advertisement-

Sebagai ahli Majlis Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Komunikasi terus memainkan peranan strategik dalam menyampaikan maklumat rasmi kepada rakyat, termasuk penyelarasan komunikasi krisis serta hebahan amaran awal melalui pelbagai saluran media kerajaan, khususnya dalam menghadapi Monsun Barat Daya dan jangkaan fenomena El Niño.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abd Shukor Mahmood serta Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Meor Ismail Meor Aki. – The Capital Post