SEREMBAN 1 Ogos 2026, (The Capital Post) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan kawalan keselamatan di beberapa lokasi strategik termasuk Istana Besar Negeri Sembilan dan pejabat kerajaan negeri susulan pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bagi memastikan keadaan keselamatan awam terus terpelihara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga berikutan kemungkinan wujud pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya sehingga boleh mencetuskan ketegangan atau pergeseran.
Beliau berkata, tanggungjawab polis bukan hanya memastikan keselamatan sebelum dan semasa proses pengundian, malah diteruskan selepas keputusan rasmi diumumkan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Kita bimbang sekiranya berlaku perubahan kepimpinan atau ada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya, ia boleh mencetuskan perselisihan. Justeru, polis akan mempertingkatkan kawalan di lokasi-lokasi penting termasuk pejabat kerajaan negeri dan Istana Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan King George V di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua penyokong parti politik agar terus berdisiplin, menghormati proses demokrasi serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan keamanan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
-Advertisement-
Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid memaklumkan proses pengundian bagi PRN Negeri Sembilan setakat ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden besar yang menjejaskan perjalanan pilihan raya.
Mengulas siasatan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, beliau berkata polis sedang mengatur pegawai untuk mendapatkan keterangan daripada pemimpin tersebut. Katanya, siasatan masih berjalan dan semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai sebelum kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Beliau turut memaklumkan bahawa sejak bermulanya proses PRN Negeri Sembilan ke-16, sebanyak 92 laporan polis berkaitan kesalahan pilihan raya telah diterima, manakala 24 kertas siasatan dibuka termasuk kes yang melibatkan dakwaan sogokan wang kepada pengundi. – The Capital Post