SEGAMAT 25 Jun 2026 (The Capital Post) – Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, turun padang bertemu masyarakat setempat menerusi Program MADANI Kita yang berlangsung di Segamat sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan memperkukuh hubungan dengan rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan awam lebih berkesan.
Program yang dianjurkan oleh Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Jabatan Perdana Menteri itu menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan dalam satu platform bagi memudahkan rakyat mendapatkan akses kepada pelbagai perkhidmatan dan bantuan secara terus.
Antara perkhidmatan yang ditawarkan termasuk advokasi Malaysia MADANI, Jualan RAHMAH, pemeriksaan kesihatan percuma, pendaftaran MyDigital ID serta urusan tuntutan Wang Tak Dituntut (WTD). Program tersebut turut menyediakan pelbagai aktiviti dan inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan belia melalui penglibatan eSport dan Rakan Muda.
Selain itu, pengunjung turut menikmati pelbagai kemudahan tambahan seperti perkhidmatan gunting rambut percuma, program pertukaran topi keledar, pengagihan biji benih dan anak pokok serta perkhidmatan tukar minyak enjin motosikal.
-Advertisement-
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menyatakan komitmen berterusan dalam menyokong program yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, selaras dengan usaha memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta meningkatkan kesejahteraan komuniti pertanian.
Kehadiran pelbagai kementerian dan agensi dalam program berkenaan mencerminkan kesungguhan kerajaan untuk mendekati rakyat serta memastikan setiap inisiatif yang diperkenalkan dapat disampaikan secara efektif kepada masyarakat di peringkat akar umbi. – The Capital Post