Projek PTJSD Tunjuk Kemajuan

Estimate Reading Time: < 1 minute

GEORGETOWN 8 Mei 2026 (The Capital Post) – Projek Penyuraian Trafik Juru–Sungai Dua (PTJSD) terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila kerja-kerja awal bagi Pakej 1 berjaya disiapkan, manakala pelbagai kerja utiliti dan geoteknikal kini giat dijalankan di lokasi projek.

Menurut kenyataan media PLUS Malaysia Berhad, Pakej 1 projek tersebut melibatkan kerja menaik taraf bulatan di Persimpangan Bertingkat Timur–Barat serta pembinaan jejambat baharu di Jalan Tun Hussein Onn bagi meningkatkan kelancaran trafik di kawasan terbabit.

Sehingga pertengahan April lalu, beberapa aktiviti teknikal utama telah berjaya dilaksanakan termasuk kerja ukur topografi, pemetaan pengesanan utiliti, penyiasatan tanah, kajian keadaan struktur sedia ada serta kerja perintisan.

PLUS memaklumkan kemajuan tersebut mencerminkan komitmen semua pihak yang terlibat dalam memastikan asas pelaksanaan projek berada dalam keadaan kukuh sebelum fasa pembinaan utama diteruskan.

Dalam perkembangan sama, kerja-kerja pengalihan utiliti kini mencapai kira-kira 55 peratus hasil kerjasama antara Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS serta beberapa agensi utiliti utama termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan TIME dotCom Berhad.

-Advertisement-

Kerja geoteknikal di tapak projek turut dipertingkatkan menerusi pemasangan saliran menegak prafabrikasi, pembinaan tambak cerucuk, cerucuk ujian awal serta penyediaan Pelan Pengurusan Trafik bagi memastikan pelaksanaan pembinaan berjalan lancar.

PTJSD merupakan projek infrastruktur berimpak tinggi yang dijangka membantu mengurangkan kesesakan di koridor Juru–Sungai Dua, antara laluan paling sibuk di Lebuhraya Utara–Selatan.

Apabila siap kelak, projek itu dijangka dapat meningkatkan kelancaran aliran trafik, memendekkan tempoh perjalanan pengguna lebuh raya serta menyokong pertumbuhan ekonomi di Pulau Pinang dan wilayah utara Semenanjung Malaysia. – The Capital Post