KPK Lancar Skuad Agrikomoditi

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 8 Mei 2026 (The Capital Post) – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan peluncuran Skuad Agrikomoditi anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sebagai langkah memperkukuh advokasi sektor agrikomoditi serta menarik lebih ramai penyertaan belia dalam industri berkenaan.

Inisiatif strategik yang dicetuskan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad itu bertujuan mengubah persepsi masyarakat terhadap sektor agrikomoditi yang sering dikaitkan dengan konsep 3D iaitu dangerous, dirty and difficult kepada pendekatan baharu berteraskan 3S merangkumi Skills, Sustainable dan Safety.

Melalui pendekatan tersebut, kementerian berharap lebih ramai golongan muda serta masyarakat umum dapat melihat potensi besar sektor agrikomoditi sebagai industri moden yang menawarkan peluang kerjaya berkemahiran tinggi dan mampan.

Majlis peluncuran itu turut menampilkan pelbagai pengisian termasuk pengenalan lima Duta Skuad Agrikomoditi yang bakal memainkan peranan dalam menyampaikan maklumat serta meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai sektor tersebut.

-Advertisement-

Selain itu, pengunjung turut didedahkan dengan taklimat agensi dan pameran berkaitan rantaian nilai lapan komoditi utama negara, selain demonstrasi penghasilan produk berasaskan komoditi seperti sabun dan minyak wangi.

Program berkenaan turut dimeriahkan dengan aktiviti interaktif termasuk MyKomoditi Race dan kuiz Kahoot yang bertujuan menarik minat generasi muda terhadap industri agrikomoditi negara.

KPK menegaskan komitmennya untuk terus memastikan sektor agrikomoditi kekal relevan dan berdaya saing menerusi pemerkasaan golongan belia sebagai tenaga kerja masa depan yang berkemahiran dan inovatif demi menyokong pertumbuhan ekonomi negara. – The Capital Post