Selangor Raih Emas Bola Sepak Wanita SUKMA XXII

Estimate Reading Time: < 1 minute

SELANGOR 20 Ogos 2026 (The Capital Post) – Pasukan bola sepak wanita Selangor mencipta kejayaan membanggakan apabila menewaskan Sabah 2-0 dalam aksi final bola sepak wanita SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung di Stadium MPS pada 19 Ogos lalu.

Kira-kira 5,000 penyokong membanjiri Stadium MPS bagi memberikan sokongan kepada pasukan tuan rumah. Sorakan dan semangat yang ditunjukkan sepanjang perlawanan akhirnya membuahkan hasil apabila Selangor berjaya menamatkan saingan sebagai juara.

Kedua-dua gol kemenangan Selangor dijaringkan oleh Tegen Su Yin Butler yang menjadi pencetus sorakan gemuruh daripada para penyokong di stadium.

Aksi final tersebut turut disaksikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), YBrs. Tuan Shahman bin Jalaludin yang hadir memberikan sokongan kepada kontinjen Selangor.

-Advertisement-

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026, YBhg. Dato’ Yazid bin Sairi; EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, YB Tuan Najwan bin Halimi; serta EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, YB Anfaal binti Saari.

Perlawanan berkenaan turut dihadiri Ketua Kontinjen Negeri Selangor SUKMA XXII, YB Tuan Abbas Salimi bin Che Adzmi@Azmi, Dato’ Orang Kaya Maha Bijaya Gombak, YDH Dato’ Ir. Haji Cheremi bin Haji Tarman, Pegawai Daerah Gombak, YBrs. Puan Nor Azlina binti Abdul Aziz, serta Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, YBrs. Dr. Johan Kamal Hamidon.

Kejayaan meraih pingat emas itu membuktikan hasil kerja keras, disiplin dan semangat berpasukan yang dipamerkan para pemain Selangor sepanjang kejohanan, sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka sebagai juara di pentas SUKMA XXII. – The Capital Post