PROTON catat jualan terbaik tahun ini

Estimate Reading Time: 2 minutes

SUBANG JAYA: PROTON mencatatkan prestasi bulanan terbaik pada Jun yang merangkumi jualan domestik dan eksport sebanyak 14,787 unit, selari dengan usaha syarikat secara berterusan untuk menyelesaikan isu bekalan komponen.

-Advertisement-

Prestasi itu adalah peningkatan sebanyak 51 peratus berbanding bulan sebelumnya dan seterusnya meningkatkan jumlah jualan separuh tahun pertama kepada 60,124 unit, peningkatan sebanyak 3.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Secara keseluruhan, PROTON mengekalkan kedudukan di tangga kedua di dalam industri automotif dengan anggaran pegangan pasaran semasa sebanyak 22.6 peratus.

Manakala, jumlah pegangan pasaran tahunan mencatatkan 18.2 peratus, penurunan sebanyak 5.1 peratus berbanding enam bulan pertama pada tahun lalu.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) dianggarkan sebanyak 331,164 unit.

Proton X50 merekodkan jualan tertinggi bulanan, manakala empat model menerajui segmen masing-masing.

Sejak dilancarkan pada 27 Oktober 2020, jualan Proton X50 menjadi satu fenomena bagi PROTON, sehingga membantu syarikat muncul sebagai pemimpin segmen kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam negara.

Pada bulan lalu, Proton X50 mencatatkan jualan bulanan terbaik dengan 4,473 unit didaftarkan dan menerajui SUV segmen-B dan keseluruhan pasaran SUV.

Tidak ketinggalan, pembaharuan bagi model X70 yang telah dilancarkan baru-baru ini, mencapai prestasi terbaiknya sepanjang tempoh 20 bulan dengan 2,969 unit yang turut membolehkannya mengekalkan posisi sebagai pemimpin jualan untuk SUV segmen-C.

Antara model lain yang turut menikmati manfaat dengan pembaharuan ialah Proton Saga 2022 yang diperkenalkan pada 12 Mei 2022, apabila sebanyak 5,460 unit telah didaftarkan pada bulan lalu, seterusnya melonjakkannya kembali ke tangga teratas bagi kelas sedan segmen-A dan memacu jumlah jualan tahunan kepada 23,484 unit.

Peneraju segmen keempat bagi bulan Jun ialah Proton Exora, yang mengekalkan posisi nombor satu di dalam kelas kenderaan pelbagai guna (MPV) segmen-C dengan 513 unit berdaftar.

-Advertisement-

Akhir sekali, Proton Persona dan Proton Iriz mencapai jualan 1,224 unit dan 421 unit, meletakkan kedua-duanya di posisi ketiga dan keempat dalam segmen masing-masing.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah, berkata Jun adalah bulan yang sibuk bagi industri automotif dengan kebanyakan jenama berusaha mengeluarkan sebanyak mungkin kenderaan bagi memenuhi permintaan pasaran.

Beliau berkata, pengumuman bahawa insentif cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan berakhir pada 1 Julai juga mendorong tempahan apabila pelanggan bergegas mengambil kesempatan daripada penjimatan yang ditawarkan.

Katanya, PROTON menerima lebih daripada 150,000 tempahan untuk enam bulan pertama tahun ini dan sekiranya ditambah kepada pesanan yang diterima pada 2021, syarikat perlu bekerja keras memastikan penghantaran kenderaan dilakukan dengan secepat mungkin seterusnya memenuhi pemintaan pelanggan.

“Kami bersyukur bahawa isu bekalan komponen dapat diselesaikan secara berperingkat, ia saja sahaja dapat meningkatkan pengeluaran, tetapi juga memberi impak positif kepada rangkaian selepas jualan.

“Seperti yang dijanjikan, semua cawangan 3S/4S kami kini mempunyai stok tiga bulan bagi komponen bergerak pantas (FMP) dan ini direplikasi di

gudang alat ganti kami.

“Isu bekalan bagi komponen yang lain juga sedang diselesaikan dan kami berharap dapat memberikan tahap perkhidmatan selepas jualan yang lebih baik kepada pelanggan kami tidak lama lagi,” katanya.

-BH