PSSCM Raikan Konvokesyen Ke-40 Seni Silat Melayu

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR 21 Jun 2026 (The Capital Post) – Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM) terus memperkukuh peranan dalam memartabatkan seni warisan Melayu menerusi Istiadat Konvokesyen Kali Ke-40 yang turut bersempena sambutan 61 tahun penubuhannya.

Majlis berprestij itu telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mohd Azam bin Ahmad yang turut menghimpunkan para pengamal seni silat serta penerima sijil dari seluruh negara dalam satu acara penuh adat dan simbolik.

Dalam majlis tersebut, seramai 73 siswa guru Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) telah menerima Sijil Rendah Persilatan menerusi Program Literasi Bela Diri PSSCM–IPGM sebagai sebahagian daripada usaha memperkenalkan serta memantapkan pengetahuan seni bela diri tradisional dalam kalangan pendidik masa hadapan.

Antara institusi yang terlibat dalam program berkenaan termasuk Institut Pendidikan Guru Kampus (IPGK) Darulaman, IPGK Pendidikan Islam, IPGK Perlis, IPGK Raja Melewar dan IPGK Tengku Ampuan Afzan, yang masing-masing memainkan peranan dalam melahirkan pendidik berpengetahuan dalam seni warisan negara.

-Advertisement-

Majlis turut mencatat detik bersejarah apabila Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia menganugerahkan Pingat Darjah Kebesaran Anugerah Tertinggi kepada Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam menyokong pembangunan dan pemerkasaan seni silat Melayu.

Pengiktirafan tersebut mencerminkan usaha berterusan pelbagai pihak dalam memelihara serta mengangkat seni silat sebagai warisan budaya bangsa yang bukan sahaja berfungsi sebagai seni bela diri, tetapi juga membentuk disiplin, jati diri dan nilai murni dalam kalangan generasi muda.

Penganjuran konvokesyen kali ke-40 ini turut menandakan kesinambungan komitmen PSSCM dalam memperkukuh kedudukan seni silat Melayu di peringkat nasional serta memastikan warisan tersebut terus relevan dan dihargai sepanjang zaman. – The Capital Post