PTVM mohon Annuar beri kebenaran penggambaran

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Persatuan seni dan kreatif menyifatkan perlantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sebagai pilihan tepat ketika industri seni sedang tenat akibat krisis ekonomi berikutan penularan pandemik COVID-19.

-Advertisement-

Annuar menerajui KKMM, manakala dibantu timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli berkata, penilaian dibuat berdasarkan pengalaman dan rekod pencapaian yang cemerlang, sebelum ini.

“Terdahulu, PTVM ingin mengucapkan tahniah kepada Annuar atas pelantikan sebagai menteri KKMM baharu.

“Berdasarkan pengalaman dan rekod pencapaian cemerlang sepanjang memegang beberapa kementerian, saya yakin beliau dapat membantu penggiat seni kreatif mengharungi situasi pandemik, hari ini,” katanya kepada BH Online.

Bagi memastikan matlamat menggerakkan semula industri seni yang kian lesu ini tercapai, Jurey mengharapkan, Annuar dapat meneruskan tradisi mengadakan pertemuan dengan pemimpin persatuan seni untuk mendapatkan pandangan.

“Saya harap ada satu pertemuan bersama pemimpin persatuan bagi berbincang dan mencari jalan penyelesaian mengenai masalah dihadapi penggiat seni kreatif, ketika ini.

“Sebagai presiden PTVM, perkara utama ingin diketengahkan adalah memohon kebenaran bagi aktiviti penggambaran diberikan segera.

“Rasanya ramai penggiat seni kreatif sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin seperti syarat baharu dikenakan. Ketika ini, banyak syarikat produksi menghadapi masalah untuk berkerja semula kerana lokasi penggambaran seperti Kuala Lumpur dan Selangor masih dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Nak tinjau lokasi pun sukar kerana syarat yang dikenakan. Kita tidak boleh nak guna lokasi lain kerana ia ada kaitan kesinambungan cerita.

-Advertisement-

“Justeru, saya berharap perkara inilah yang lebih diberi perhatian oleh kerajaan kerana penggiat seni kreatif sudah berada dalam keadaan tenat dan terdesak kerana tidak bekerja,” katanya.

Tambahnya, kerajaan disaran memanfaatkan golongan penggiat seni kreatif untuk terbabit dalam setiap kempen ataupun aktiviti kemasyarakatan.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk kerajaan melihat bagaimana penggiat seni kreatif boleh bersama kerajaan dalam membantu kempen yang dianjurkan.

“Peranan penggiat seni kreatif boleh membantu kerajaan menyampaikan mesej atau dasar kepada rakyat menerusi pembikinan klip video dan sebagainya.

“Secara tidak langsung, ia dapat membantu golongan penggiat seni kreatif mencari rezeki dan meneruskan survival dalam bidang ini,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pembentukan Kabinet yang menyaksikan pelantikan seramai 31 menteri termasuk empat menteri kanan dan 38 timbalan menteri.

Seramai 31 dilantik sebagai menteri dan 38 lagi sebagai timbalan menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

-BH