Pulau Pinang, Perak perlu bincang isu bekalan air

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Parlimen kerajaan mahu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, campur tangan bagi membolehkan rundingan dibuat supaya Pulau Pinang memperoleh bekalan air mentah dari Perak khususnya menerusi Sungai Perak.

-Advertisement-

RSN Rayer (PH-Jelutong) ketika berbahas pada sesi penerangan menteri berkenaan fenomena cuaca panas luar biasa yang melanda negara di Dewan Rakyat hari ini menegaskan, satu sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan, Perak serta Pulau Pinang wajar dimulakan.

“Memandangkan kerajaan di Perak adalah kerajaan yang menyokong Kerajaan Perpaduan, saya mohon menteri bincang dengan Perdana Menteri untuk adakan sesi libat urus dengan kerajaan Perak bagi pembekalan air dari Perak ke loji-loji untuk dibekalkan kepada rakyat Pulau Pinang,” katanya.

Disember tahun lalu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan Perak tetap dengan keputusan tidak membekalkan air ke Pulau Pinang meskipun Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sudah membentuk kerajaan campuran di peringkat Pusat.

Beliau berkata, Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak (SPRWTS) kepada kerajaan Pulau Pinang tidak akan dilaksanakan kerana kapasiti bekalan air di Perak hanya mencukupi untuk negeri itu.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad, ketika menjawab persoalan itu menjelaskan, kerajaan kedua-dua negeri berkenaan boleh memutuskan sendiri untuk mengadakan perbincangan.

“Di peringkat kementerian, kalau ada permintaan dari satu negeri ke satu negeri, ia boleh dibincang di peringkat kedua-dua kerajaan negeri terbabit.

-Advertisement-

“Kami faham mengenai keperluan tinggi di Pulau Pinang bagi bekalan air. Itu antara keperluan penting untuk mana-mana negeri membangun,” katanya.

Pada sesi perbahasan sama, Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mencadangkan penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan bagi mengatasi isu jerebu yang sering berlaku disebabkan faktor luar khususnya negara jiran.

“Dengan adanya akta ini, kerajaan boleh mengambil tindakan ke atas individu atau syarikat yang menyebabkan jerebu di negara ini, tanpa mengira di mana pembakaran berlaku. Singapura sudah meluluskan akta ini pada 2014,” katanya.

Selepas krisis jerebu pada 2019, katanya, kementerian sudah mengarahkan Akademi Sains Malaysia kajian keperluan kerangka undang-undang bagi pencemaran rentas sempadan bagi menasihati kerajaan akta ini berkesan atau sebaliknya.

“Pada 12 Februari 2020, Kabinet Pakatan Harapan (PH) pada masa itu sudah membincangkan keputusan kajian ASM dan bersetuju memperkenalkan akta ini.

“Bagaimanapun, selepas itu ‘Langkah Sheraton’ berlaku dan kerajaan selepas itu mengambil pendirian untuk tidak meneruskan usaha ini,” katanya.

– Berita Harian