PUSPANITA MINDEF Lawat Penjara Wanita Kajang

Estimate Reading Time: < 1 minute

KAJANG 7 Ogos 2026 (The Capital Post) – PUSPANITA Cawangan Kementerian Pertahanan (MINDEF) mengadakan lawatan ke Penjara Wanita Kajang (PWK) bagi mengeratkan hubungan silaturahim, memperkukuh jaringan kerjasama serta meninjau pelaksanaan program pemulihan dan pembangunan kemahiran yang disediakan kepada penghuni institusi berkenaan.

Lawatan itu disambut oleh Timbalan Pengarah Penjara Wanita Kajang, PP Mona Azura Ismail, bersama pegawai kanan dan warga kerja PWK. Program dimulakan dengan sesi bergambar, diikuti taklimat keselamatan sebelum rombongan dibawa melawat beberapa fasiliti utama di penjara.

Sepanjang lawatan, delegasi berpeluang meninjau Taska Cinta Care Penjara Wanita Kajang selain melawat Bengkel Batik Lama, Bengkel Jahit Perusahaan, Bengkel Jahit Amanah dan Bengkel Pastri bagi melihat pelaksanaan program pemulihan, pendidikan serta latihan kemahiran yang disediakan kepada prospek.

-Advertisement-

Majlis turut diisi dengan ucapan alu-aluan daripada pihak Penjara Wanita Kajang serta ucapan oleh Timbalan Pengerusi II PUSPANITA Cawangan MINDEF, Datin Almahera Abd. Ghani. Program diteruskan dengan sesi pertukaran cenderamata, jamuan makan tengah hari dan persembahan kebudayaan oleh prospek.

Lawatan berakhir dengan kunjungan ke Galeri IPPM sebagai penutup program yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara agensi, di samping meningkatkan pemahaman terhadap pendekatan pemulihan dan pembangunan insan dalam sistem penjara negara. – The Capital Post