Rakyat perlu bijak memilih, utama norma murni calon PRU-15

Estimate Reading Time: 2 minutes

Bahang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kini makin dirasai, namun adakah rakyat terutama pengundi sudah bersedia untuk memilih calon mewakili mereka di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menjadi pemimpin?

-Advertisement-

Walaupun tarikh PRU-15 masih menjadi teka-teki, rakyat wajar bersedia lebih awal dan celik minda dalam membuat pilihan tepat menerusi cara dan maklumat sahih.

Rakyat Malaysia mesti memilih pemimpin baharu kompeten dan amanah menjalankan tanggungjawab serta berupaya mengatasi masalah rasuah dalam pentadbiran negara dan menyelesaikan kemelut ekonomi.

Atas faktor ini rakyat wajar memilih calon berdasarkan kekuatan individu ditampilkan, bukannya berdasarkan kepada parti diwakili semata-mata.

Rakyat perlu bersifat selektif, bukan sewenang-wenangnya menerima pemimpin tidak memenuhi kriteria dan mengutamakan norma murni dalam memilih pemimpin atau calon PRU-15.

Ciri terpenting perlu diambil kira adalah keperibadian calon. Calon harus berintegriti tinggi, tidak terbabit kesalahan jenayah atau mempunyai kes di mahkamah.

Pemimpin politik berilmu pengetahuan luas dalam pelbagai isu dan mempunyai pendidikan tinggi seharusnya menjadi pilihan utama, di samping bijak serta pemikiran berkualiti tinggi.

Parti politik pula tidak sepatutnya mengehadkan pemilihan calon, sebaliknya bersikap terbuka mencari pemimpin berkarisma, tegas melaksanakan tanggungjawab dan ‘cakap serupa bikin’.

Calon mempunyai idealisme, manifesto perjuangan bukan retorik, memahami isu setempat dan bukan mengambil kesempatan atas emosi rakyat perlu diutamakan pengundi.

Sementara itu, rakyat yang cintakan parti, mesti memilih calon menghayati perjuangan dan manifesto parti, istiqamah serta meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan diri sendiri.

Dalam hal ini, parti dan ahli perlu mengkaji serta memastikan calon dipilih tidak akan melompat parti walau apa pun yang berlaku.

Tidak terkecuali, pengundi perlu mengenali diri calon adakah mempunyai kedudukan mantap dan regular dalam politik setempat serta mengetahui asal usulnya.

-Advertisement-

Selain itu, sikapnya juga perlu diteliti sama ada menepati karisma pemimpin berintegrti atau sejauh manakah kualiti perkhidmatan calon berkenaan selama ini. Adakah benar-benar layak atau sekadar ‘bidan terjun’.

Kriteria lain yang penting adalah aspek kemahiran komunikasi. Rakyat mengharapkan pemimpin mahir berkomunikasi dan mampu berinteraksi dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Kita tidak mahu pemimpin ‘syok sendiri’ menyampaikan visi dan misi dengan menggunakan perkataan ‘bombastik’ bagi menunjukkan tahap intelektual, tetapi gagal menjalankan amanah sebagai wakil rakyat.

Wakil rakyat terbaik ialah mereka sanggup mendengar aduan dan rintihan rakyat terutama daripada generasi muda. Wakil rakyat ini juga perlu mampu membawa isu atau aduan ke peringkat atasan untuk diselesaikan.

Tidak keterlaluan juga, semua calon parti politik sepatutnya disaring kelayakan untuk bertanding sama ada oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Insolvensi atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rakyat juga perlu bijak menilai pergerakan jentera penyokong calon terutama aktiviti memberi hadiah sebagai sogokan. Pastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terkini ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jika dikesan terbabit dalam aktiviti sogokan,
rakyat mesti tampil ke hadapan melaporkan segala kesalahan, tindakan, janji dan pemberian ditawarkan ketika kempen.

Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) sebagai pemerhati rasmi berdaftar dengan SPR komited memastikan rakyat menunaikan hak sewajarnya pada PRU kali ini.

Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)

-BH