PUSPAKOM laksana urusan tanpa tunai sepenuhnya mulai 1 Julai

Estimate Reading Time: < 1 minute

SHAH ALAM: Kesemua 54 pusat pemeriksaan PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) di seluruh negara akan beralih ke urus niaga pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua jenis pemeriksaan kenderaan bermula 1 Julai ini.

-Advertisement-

Ketua Pegawai Eksekutif, Shukor Ismail, berkata peralihan kepada transaksi urus niaga tanpa tunai itu dilihat dapat menjimatkan masa, selain lebih selamat dan selaras dengan aspirasi PUSPAKOM untuk mendigitalisasikan sepenuhnya urusan di agensi berkenaan.

Katanya, pelanggan boleh membuat bayaran secara dalam talian, iaitu melalui pilihan e-dompet, kad debit atau kad kredit.

“Kami yakin urus niaga tanpa tunai ini akan melancarkan proses dan operasi pemeriksaan. Ia sudah mula dilaksanakan sejak April tahun lalu, iaitu pembayaran tanpa tunai serta pengeluaran laporan pemeriksaan dan resit secara elektronik tanpa kertas.

“Bagaimanapun ketika itu, pembayaran secara tunai masih lagi dibenarkan atas pertimbangan masih ada sebilangan kecil pelanggan yang tidak memiliki e-dompet, kad debit atau kredit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, data PUSPAKOM menunjukkan lebih 90 peratus pelanggannya kini menggunakan kaedah transaksi tanpa tunai di semua cawangan, jelas menunjukkan kaedah berkenaan menjadi pilihan kerana ia lebih mudah, cepat serta lebih selamat.

-Advertisement-

“PUSPAKOM kini menerima pembayaran melalui pelbagai pilihan e-dompet, termasuk PUSPAKOM e-wallet, Maybank QR Pay, GrabPay, Touch ‘n Go eWallet, Boost, WeChat Pay dan Alipay di semua pusat pemeriksaan kami seluruh negara.

“Untuk makluman, PUSPAKOM mula menerima pembayaran secara dalam talian sejak 2017, antaranya melalui kad debit atau kredit, FPX dan PUSPAKOM e-wallet bagi semua janji temu pemeriksaan kenderaan yang dibuat melalui sistem MyPUSPAKOM,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Pusat Khidmat Pelanggan PUSPAKOM di talian 03-51017000 atau Live Chat di www.puspakom.com.my atau Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd.

-BH