Ramalan pakar: 5 JDT, 1 TFC

Estimate Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membuat perhitungan dengan Terengganu FC (TFC) malam ini bagi menentukan siapa lebih berhak menjulang Piala Malaysia musim ini.

-Advertisement-

Atas kertas, segala-galanya dilihat lebih memihak kepada JDT berdasarkan status gergasi Liga Malaysia (Liga M) yang dipegang mereka selain Harimau Selatan juga menampilkan persembahan cemerlang musim ini.

Maka, tidak hairanlah mengapa majoriti peminat bola sepak tempatan meramalkan skuad Esteban Solari bakal memenangi kejuaraan Piala Malaysia buat kali keempat.

Berikut adalah ramalan jurulatih, bekas pemain dan pemerhati bola sepak tempatan terhadap aksi antara JDT dan TFC.

Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar

Ramalan: JDT 2 TFC 0
“Rekod jelas terbukti JDT lebih baik berbanding TFC. TFC pun ada peluang tetapi peluang JDT lebih besar. Keputusan yang dilakar JDT sepanjang musim ini menakjubkan, bukan sahaja tak pernah kalah dalam Liga Malaysia (Liga M) tetapi permainan mereka pun bagus.”

Bekas jurulatih Harimau Muda, Mohd Azraai Khor Abdullah

Ramalan: JDT 4 TFC 1

“Bagi saya Piala Malaysia tetap hak milik JDT. Kalau bandingkan kedua-dua pasukan itu dari segi barisan pemain, rekod pertemuan dan sebagainya, ia lebih memihak kepada JDT. Mereka ada kualiti dan skuad JDT serba lengkap.”

Bekas pemain kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli

Ramalan: JDT 2 TFC 1

-Advertisement-

“Pilihan lebih kepada JDT berdasarkan kualiti pemain yang mereka miliki. Namun, pentas akhir bukan mudah kerana JDT juga pernah tewas kepada Kuala Lumpur (KL) City. Jika pasukan kurang melakukan kesilapan, mereka akan menang.”

Legenda bola sepak Johor, Rizal Sukiman

Ramalan: JDT 3 TFC 0

“Atas kertas, JDT lebih kuat daripada pasukan kebangsaan dan mereka berada dalam tahap yang berbeza. Namun keadaan padang di Stadium Nasional akan membuatkan JDT sukar memberikan 100 peratus seperti kebiasaan, jadi TFC ada peluang di situ.”

Bekas penjaga gol Selangor, Jamsari Sabian

Ramalan: JDT 2 TFC 1

“JDT ada pemain bintang dan berpengalaman sementara TFC ada bintang muda berbakat dan kedua-duanya bermain di pentas Asia. Satu aksi final yang menarik untuk disaksikan dan sudah pasti ada gol kerana kedua-dua pasukan konsisten.”

Pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustafa

Ramalan: JDT 1 TFC 2

“Prestasi TFC akhir-akhir ini konsisten sama ada dalam liga mahu pun Piala AFC. TFC ada perancangan permainan yang jelas dan strategi yang boleh mengekang barisan serangan JDT. TFC mungkin boleh guna kaedah bagaimana pasukan lain mengalahkan JDT di Liga Juara-Juara Asia.”
-BeritaHarian


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373