KUALA LUMPUR 29 Ogos 2026 (The Capital Post) – GMBB bakal menghidupkan suasana Malaysia melalui Rentak MalaysiaKu 2026: Slice of Life, sebuah program khas sempena Hari Malaysia yang mengetengahkan pengalaman, tradisi dan kehidupan seharian masyarakat menerusi pelbagai acara seni serta budaya sepanjang September ini.
Program tahunan yang dianjurkan oleh GMBB bersama komuniti kreatifnya itu akan berlangsung dari 22 Ogos hingga 30 September 2026, dengan kemuncak acara dijadualkan pada 12 dan 13 September. Pelbagai aktiviti seperti pameran, persembahan, bengkel, tayangan filem, puisi, jelajah bandar dan pop-up kebudayaan akan dianjurkan sepanjang tempoh tersebut.
Mengangkat tema Slice of Life, Rentak MalaysiaKu 2026 memberi tumpuan kepada perkara-perkara kecil yang menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat Malaysia, termasuk budaya ke pasar, makanan, tempat berkumpul, hasil kraftangan, amalan keluarga serta tradisi yang diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.
Menurut Senior General Manager GMBB, Lim Ying Hui, program berkenaan bertujuan membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali kepelbagaian Malaysia melalui pengalaman dan kehidupan komuniti yang berbeza.
Beliau berkata perkara yang dianggap biasa oleh sesetengah masyarakat mungkin mempunyai makna yang berbeza kepada orang lain, sekali gus menjadikan kepelbagaian pengalaman sebagai elemen yang menghubungkan rakyat Malaysia.
Antara pengisian utama ialah Footnote: Reading KL on Foot oleh Briana Leong yang menawarkan empat jelajah bertema di sekitar Kuala Lumpur dengan memberi perhatian kepada makanan, objek, papan tanda dan ruang bandar. Mini Show Gallery pula menampilkan pengalaman kehidupan dari seluruh Malaysia dalam bentuk pameran mini.
Pengunjung turut berpeluang menyertai Slice of Life Limited Edition Sticker Rally dari 12 hingga 16 September, selain meneroka tema pasar menerusi Rasa Pasar dan IMMERSIO 2026: PASAR yang dianjurkan oleh kolektif seni media baharu Filamen dari 11 hingga 27 September.
-Advertisement-
Program berkenaan turut membawa perhatian kepada warisan Borneo menerusi kerjasama dengan HAUS KCH yang mengetengahkan karya puisi, filem serta hasil kraftangan daripada penggiat seni dan pembuat dari Borneo.
Sementara itu, pameran Inheritance: Borneo Women oleh Undercurrent yang berlangsung dari 2 hingga 30 September akan menampilkan karya artis dan kolektif seni Malaysia Timur dengan mengetengahkan isu identiti pribumi, memori, tenaga kerja serta warisan masyarakat matriarki di Borneo.
Aspek warisan dan tradisi turut diraikan menerusi persembahan Sewang Ne’asik oleh Luheiw Renaweij yang membawa seni masyarakat Orang Asli Semai Perak, selain persembahan dan demonstrasi Bharatanatyam, Fusion Wayang Kulit, bengkel Mini Songket Weaving serta aktiviti menghasilkan jubin berinspirasikan budaya Peranakan.
Rentak MalaysiaKu merupakan kesinambungan usaha GMBB dalam menjadikan sambutan Hari Malaysia sebagai ruang untuk meneroka identiti negara melalui kisah masyarakat dan komuniti kreatif. Inisiatif tersebut bermula pada 2019 menerusi Malaysiaku sebelum berkembang melalui beberapa tema termasuk Let’s Sustain MalaysiaKu, Rasa Sayang dan Rentak MalaysiaKu.
Dengan pelbagai pengisian yang menggabungkan seni, budaya, makanan, tradisi dan pengalaman masyarakat, Rentak MalaysiaKu 2026 dijangka menjadi platform untuk rakyat melihat semula kehidupan seharian dari perspektif yang lebih dekat, sambil menghargai kepelbagaian yang membentuk identiti Malaysia. – The Capital Post