Ringgit dibuka kukuh sedikit berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 26 Okt 2022 (The Capital Post): Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu, berikutan data yang menunjukkan keyakinan pengguna AS lebih rendah telah menjejaskan sedikit mata wang negara maju itu.

-Advertisement-

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.7300/7340 berbanding dolar AS daripada 4.7350/7375 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata data keyakinan pengguna AS, yang mengukur sejauh mana keyakinan keluarga terhadap senario ekonomi dalam jangka pendek dan sederhana, susut kepada 102.5 pada Oktober 2022 daripada 107.8 pada September 2022.

“Ahli ekonomi menjangkakan bacaan 106.5, jadi angka terkini itu adalah sesuatu yang negatif untuk dolar AS bagi jangka sederhana,” katanya.

Beliau berkata perbelanjaan isi rumah AS mewakili kira-kira dua pertiga daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan apabila pengguna berasa kurang yakin mengenai masa depan, ia cenderung ditunjukkan dalam data KDNK keseluruhan yang agak besar.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.

-Advertisement-

Unit tempatan susut berbanding pound British kepada 5.4111/4157 daripada 5.3600/3628 ketika ditutup pada Isnin, dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.3345/3378 daripada 3.3233/3253.

Ringgit rendah berbanding yen Jepun kepada 3.1927/1958 daripada 3.1804/1823 semalam dan lemah berbanding euro kepada 4.7049/7089 daripada 4.6711/6735.

– Bernama -BH

(The Capital Post)