Ringgit terus meningkat, RM4.29 berbanding dolar AS

Estimate Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 20 Jan 2023 (The Capital Post): Ringgit meneruskan peningkatan semalam apabila dibuka lebih tinggi hari ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) susulan minat belian yang kembali ketara.

-Advertisement-

Pada 9 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.2975/3015 daripada 4.3050/3100 pada akhir urus niaga semalam.

Peniaga ActivTrades Trader, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS susut berbanding ringgit dengan sebahagiannya disebabkan oleh angka ekonomi Malaysia yang kukuh dalam beberapa bulan lalu.

Negara Asia Tenggara itu mencatatkan data lebih kukuh daripada negara maju utama seperti AS dan Kesatuan Eropah (EU).

Malah, Bank Negara Malaysia (BNM) bertindak mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus, susulan data inflasi yang rendah serta pekerjaan yang kukuh.

Bagaimanapun, katanya, pasaran menjangkakan BNM akan menaikkan 25 mata asas lagi menjadikan OPR pada 3.0 peratus dan tindakan sebaliknya oleh bank pusat itu akan membawa kepada penurunan nilai ringgit untuk beberapa hari akan datang berikutan bon-bon kerajaan membayar kadar faedah lebih rendah kepada pelabur.

“Dari sudut teknikal dan mengambil kira senario dasar monetari semasa, ringgit boleh susut ke paras 4.3600 dan 4.4400 berbanding dolar AS dalam tempoh beberapa hari saja,” katanya kepada Bernama.

-Advertisement-

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura pada 3.2510/2543 daripada 3.2483/2523 dan rendah kepada 5.3220/3270 berbanding pound Britain daripada 5.3111/3172 pada akhir urus niaga Khamis.

Unit tempatan itu bagaimanapun mengukuh berbanding euro kepada 4.6551/6594 daripada 4.6602/6656 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.3407/3441 daripada 3.3544/3588 pada penutupan semalam.

-BERNAMA -BH

(The Capital Post)


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5279