RUU Profesion Kerja Sosial 2026 Diluluskan

Estimate Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 31 Julai 2026 (The Capital Post) – Rang Undang-Undang (RUU) Profesion Kerja Sosial 2026 (RUU PKS 2026) telah diluluskan oleh Dewan Negara, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh profesion kerja sosial di Malaysia.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memaklumkan pembentangan bacaan kedua rang undang-undang itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Puan Lim Hui Ying.

Perbahasan RUU tersebut turut menyaksikan penyertaan aktif 19 Ahli Dewan Negara yang mengemukakan pandangan, cadangan dan sokongan bagi memperkukuh profesion kerja sosial sebagai satu profesion yang diiktiraf, beretika dan berintegriti.

Menurut KPWKM, penglibatan Ahli Dewan Negara mencerminkan komitmen bersama dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus menjadi agenda utama negara.

-Advertisement-

Kementerian itu berkata, sebagai peneraju pembangunan sosial negara, KPWKM komited memperkukuh ekosistem perkhidmatan sosial menerusi pewujudan mekanisme kawal selia yang lebih tersusun, profesional dan diyakini.

Kelulusan RUU PKS 2026 dijangka mengangkat martabat profesion kerja sosial serta memperkukuh kualiti penyampaian perkhidmatan kepada individu, keluarga dan komuniti yang memerlukan, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masyarakat yang lebih sejahtera, inklusif dan berdaya tahan. – The Capital Post