Sambutan Hangat Reruai KKM Warnai Program MADANI Kita 2026 di Pulau Pinang

Estimate Reading Time: < 1 minute

PERMATANG PAUH 26 Julai 2026, (The Capital Post) – Program MADANI Kita 2026 yang berlangsung di Padang Politeknik Seberang Perai terus mendapat sambutan menggalakkan apabila reruai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjadi antara tarikan utama orang ramai untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan secara percuma sempena Hari Pelanggan KKM Siri 1/2026.

Kemuncak acara pada hari kedua program menyaksikan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim menyempurnakan Majlis Perasmian Program MADANI Kita 2026. Kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat melalui penglibatan pelbagai kementerian dan agensi secara langsung.

Sebelum majlis perasmian berlangsung, Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, YBrs. Dr. Zulhizzam Haji Abdullah telah mengadakan lawatan ke reruai KKM serta berinteraksi dengan petugas dan pengunjung yang hadir mendapatkan perkhidmatan. Lawatan tersebut turut menjadi tanda penghargaan terhadap usaha warga KKM dalam memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan lebih dekat dan mudah dicapai oleh masyarakat.

Sepanjang program berlangsung, reruai utama KKM terus dipenuhi pengunjung yang mengambil peluang menjalani saringan kesihatan selain mendapatkan maklumat berkaitan Program Latihan Separa Perubatan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) yang ditawarkan kepada orang ramai.

-Advertisement-

Selain itu, perkhidmatan kesihatan bergerak yang disediakan KKM turut menerima sambutan memberangsangkan apabila ramai pengunjung mendapatkan pemeriksaan pergigian, penskaleran gigi secara percuma serta khidmat nasihat daripada pegawai pergigian yang bertugas.

Penganjuran Program MADANI Kita 2026 dijangka terus menjadi platform penting dalam memperluaskan akses rakyat kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan, khususnya dalam meningkatkan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan menerusi pameran, aktiviti interaktif dan perkhidmatan yang disediakan sepanjang program. – The Capital Post