Santuni MADANI KPM Perkukuh Hubungan Pendidikan dan Komuniti

Estimate Reading Time: < 1 minute

KELANTAN 4 Oktober 2026 (The Capital Post) – Program Santuni MADANI Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti setempat menerusi pendekatan turun padang bagi memahami keperluan serta potensi masyarakat.

Majlis Penutup Program Santuni MADANI Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tahun 2026 telah dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPM, YBhg. Dato’ Wan Hashim bin Wan Rahim, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berangan, semalam.

Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI) menjadi platform untuk mendekati masyarakat, memahami keperluan penduduk serta mengenal pasti isu dan potensi setempat dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti.

Pada majlis berkenaan, Wan Hashim turut mengumumkan peruntukan penyelenggaraan berjumlah RM200,000 kepada SMK Berangan bagi menyokong keperluan sekolah.

-Advertisement-

Beliau turut menyampaikan pelbagai sumbangan kepada pihak sekolah dan komuniti setempat, termasuk komputer riba, papan pintar, tablet, bahan bacaan, biasiswa Diploma Kejururawatan, bakul makanan serta topi keledar.

Pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen KPM untuk memperkukuh jalinan antara institusi pendidikan dan masyarakat, selain memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh komuniti setempat.

Inisiatif berkenaan turut membawa aspirasi “Tahun Ini, Tahun Kita” dengan penekanan terhadap peranan guru sebagai pemangkin pembangunan pendidikan menerusi tema “Guru Bitara Nadi Negara” – The Capital Post