Sarawak berhak guna bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar, kata menteri muda

Estimate Reading Time: 2 minutes

PETALING JAYA: Seorang menteri muda Sarawak berkata negeri itu berhak menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah, seperti yang dinyatakan dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (Laporan IGC) 1962.

-Advertisement-

Ia susulan kenyataan seorang ahli akademik mengatakan cadangan menubuhkan sekolah antarabangsa milik kerajaan di Sarawak bercanggah dengan Akta Pendidikan, yang mewajibkan semua sekolah kerajaan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Annuar Rapaee, menteri muda pendidikan, sains dan penyelidikan teknologi, berkata Laporan IGC jelas memberi hak kepada Sarawak untuk memutuskan dasar pendidikannya dan menggunakan bahasa Inggeris di sekolah, sambil menambah laporan itu asas kepada Perjanjian Malaysia 1963.

“Kita tidak pernah bersetuju untuk mengubah dasar ini sejak kita membentuk Malaysia. Oleh itu, mesti dihormati bahawa Sarawak boleh menggunakan bahasa Inggeris (sebagai bahasa pengantar di sekolah).

“Oleh kerana itu, kita masih anggap bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ke-2 kami,” kata Annuar kepada FMT.

Perenggan 17 laporan itu menyatakan dasar dan sistem pentadbiran di Sarawak perlu kekal berada bawah kendalian kerajaan negeri, kecuali jika ia dipersetujui sebaliknya.

Beliau menjawab Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang mengatakan pendidikan bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan dan membenarkan sekolah antarabangsa milik kerajaan bercanggah dengan Akta Pendidikan.

Teo mengulas mengenai keputusan negeri itu untuk menubuhkan sekolah menengah antarabangsa sendiri bagi menghasilkan pelajar yang kompetitif dengan bahasa Inggeris yang baik.

-Advertisement-

Sebanyak 5 buah sekolah menengah antarabangsa diusulkan, termasuk 2 di Kuching, dan masing-masing 1 di Sibu, Bintulu, dan Miri, menggunakan Sijil Umum Pendidikan Menengah Antarabangsa oleh Cambridge Assessment International Education Board.

Annuar berkata, Teo seharusnya melakukan lebih banyak kajian sebelum mengulas mengenai perkara itu, sambil menambah langkah itu lebih kepada meningkatkan taraf pendidikan di negeri itu.

Katanya, Sarawak sudah lama menjadi “anak tiri” dalam pendidikan, menunjukkan piawaian pendidikan yang merosot dan juga kemudahan yang “sangat buruk” di sana.

“Beri peluang kepada kerajaan negeri untuk memperbaiki semua ini melainkan anda mahu melihat Sarawak masih ketinggalan ke belakang walaupun negeri ini ada sumber semula jadi dan peranan yang besar dalam KDNK negara,” katanya.

Tambahnya, tidak menjadi masalah bagi sekolah antarabangsa kendalian negeri untuk menggunakan bahasa Inggeris kerana ia tidak akan menggunakan silibus kebangsaan tetapi kurikulum antarabangsa yang sama dengan sekolah swasta lain.

“Sekolah antarabangsa kita ini akan dikendalikan oleh sebuah syarikat milik Yayasan Sarawak dan dana dari kerajaan negeri. Ia tidak bertentangan dengan Akta Pendidikan.” -FMT


Notice: ob_end_flush(): failed to send buffer of zlib output compression (0) in /home/capitalp/public_html/wp-includes/functions.php on line 5373