Selit RM50 dalam surat MITI

Estimate Reading Time: < 1 minute

Tasek Gelugor: Lelaki ditahan selepas cuba merasuah polis RM50 bagi melepaskan diri dari dikenakan kompaun kerana merentas negeri tanpa kebenaran ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Kampung Selamat, di sini, hari ini.

-Advertisement-

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, lelaki berusia 41 tahun itu ditahan ketika menunggang motosikal Kawasaki 250 dari Padang Serai, Kedah memasuki Tasek Gelugor, Pulau Pinang tanpa surat kebenaran.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan polis mendapati lelaki itu melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri tanpa surat kebenaran.

“Polis yang menjalankan tugasan di SJR berkenaan mengarahkan lelaki itu menunjukkan surat kebenaran rentas negeri namun dia gagal.

“Lelaki itu kemudiannya cuba melepaskan diri dengan memberikan surat dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) milik sebuah syarikat yang di dalamnya terselit sekeping wang bernilai RM50.

-Advertisement-

“Polis merampas wang itu termasuk surat serta telefon bimbit daripada lelaki berkenaan selepas dia cuba merasuah polis,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurutnya, polis turut mengeluarkan kompaun RM5,000 ke atas lelaki itu berikutan kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

“Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.-METRO